Sebuah NGO hak asasi haiwan mempersoalkan pihak berkuasa yang bertanggungjawab berhubung tindakan Majlis Daerah Besut (MDB) di Terengganu yang menembak mati anjing liar bernama Kopi.
Presiden Persatuan Furry Future Selangor, S Shashi Kumar, merujuk kepada Seksyen 30(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015, yang menyatakan pelupusan haiwan dengan menggunakan senjata api hanya boleh dilakukan jika ditetapkan oleh menteri yang bertanggungjawab atau dibenarkan oleh pihak berkuasa veterinar, dan hanya dalam keadaan kecemasan atau untuk kawalan penyakit.
Dia menegaskan bahawa peruntukan ini menyediakan kerangka undang-undang yang jelas tentang syarat-syarat bagaimana haiwan boleh dibunuh.
“Pembunuhan anjing di Malaysia semakin meningkat pada kadar yang membimbangkan, dengan laporan baru-baru ini dan liputan meluas di media sosial menunjukkan kaedah yang mengerikan dan ganas yang digunakan.
“Kekejaman ini semakin menjadi-jadi dan semakin ketara setiap hari dengan penderaan haiwan yang meluas, pelupusan anjing jalanan, dan kaedah yang tidak berperikemanusiaan,” katanya dalam kenyataan.
Mengikut prosedur
Bulan lalu, Ahli Parlimen PH dan PH bertikam lidah berhubung isu pembunuhan Kopi.
Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin, merujuk kepada Akta Kebajikan Haiwan dan menyatakan bahawa haiwan tidak boleh dilupuskan dengan cara sedemikian.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Besut, Che Mohamad Zulkifly Jusoh, mempertahankan tindakan tersebut dengan mengatakan tindakan itu wajar dan dilakukan mengikut prosedur.
Menurutnya, di Besut sahaja terdapat kira-kira 800 anjing liar dengan 130 aduan telah dibuat. Katanya masalah anjing liar menimbulkan masalah kacau ganggu, ancaman penyakit, kecederaan kepada orang ramai dan kotoran najis di kawasan penduduk.
Menangani Isu secara sistemik
Dalam pada itu Sashi berkata lebih 15 NGO akan menyerahkan memorandum ke Parlimen berhubung perkara itu pada Selasa (12 Nov) jam 11 pagi.
“Kami beralih kepada Parlimen kerana ia merupakan badan perundangan tertinggi di negara ini dan satu-satunya institusi yang mempunyai kuasa untuk menangani isu sistemik ini secara menyeluruh.
“Masa telah tiba untuk kerajaan berhenti membenarkan kekejaman ini dan sebaliknya mengambil tindakan tegas dan berani.
“Kami menuntut agar parlimen segera meneliti dan menyemak semula Akta Kebajikan Haiwan bagi memastikan tiada haiwan, terutama anjing jalanan, mengalami kekejaman sebegini lagi,” katanya.