Sebuah agensi pekerja di Bangladesh membuat laporan polis berhubung dakwaan tiga warganegara Malaysia memperkenalkan diri sebagai 'wakil kerajaan' berkaitan siasatan pengubahan wang haram, pemerasan dan pemerdagangan pekerja asing melibatkan pekerja warga negara itu.
Ketika dihubungi, Pengarah Urusan SF Global Limited, Howladar Forkan Uddin mengesahkan laporan polis tersebut dibuat pada 6 Nov lalu di balai polis Paltan, Dhaka, Bangladesh.
"Saya membuat laporan polis ini untuk meminta pihak polis Bangladesh menyiasat perkara ini kerana ia melibatkan keselamatan kedua-dua negara.
"Ini satu dakwaan yang sangat serius dan perlu disiasat. Apakah motifnya kehadiran tiga individu ini ke Bangladesh dan bagaimana mereka boleh adakan perjumpaan dengan pihak polis dan siapa orang tengah yang mengaturkan semua ini.
"Kenapa ada pihak cuba mencemarkan nama Malaysia sebagai negara yang terlibat dalam pemerdagangan manusia dan pengubahan wang haram. Ini perlu disiasat," katanya kepada Malaysiakini.
Malaysiakini turut menerima salinan laporan polis tersebut yang disebut di negara itu sebagai GD atau general diary.
Menurut laporan berkenaan, Howladar turut membuat laporan ke atas dua lagi individu Bangladesh yang didakwa sebagai dalang di sebalik perjumpaan tiga individu berkenaan bersama pihak polis Paltan, Dhaka.
Sebelum ini, Malaysiakini memetik sekurang-kurangnya dua portal berita Bangladesh melaporkan bahawa tiga individu yang merupakan warga Malaysia melawat ke Bangladesh atas permintaan beberapa pemain agensi pekerja tempatan daripada negara itu.
Menurut laporan, ketika lawatan itu, mereka bertemu pegawai polis di Balai Polis Paltan berhubung kes yang difailkan terhadap agensi tenaga manusia dan memperkenalkan diri mereka sebagai "wakil kerajaan Malaysia" dan sekutu rapat Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim.
Laporan itu mendakwa mereka juga menggunakan identiti aktivis hak asasi manusia selain sekutu KDN Malaysia, untuk mengelirukan pegawai penyiasat sehingga memaksa pihak polis Bangladesh mengeluarkan surat kepada cabang Interpol di Malaysia dengan permintaan untuk menggantung penggunaan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS), milik syarikat Bestinet Sdn Bhd.
Sebelum ini, polis Bangladesh menggesa pihak berkuasa Malaysia untuk menahan pengasas Bestinet Aminul Islam Abdul Nor dan sekutunya, Ruhul Amin dan menghantar mereka pulang ke negara itu.
Ia berikutan kedua-duanya didakwa melakukan pengubahan wang haram, pemerasan dan pemerdagangan pekerja asing.
Bagaimanapun, Aminul dan Bestinet menafikan dakwaan tersebut.
Semakan Malaysiakini mendapati tiga individu yang didakwa menyamar sebagai 'wakil kerajaan Malaysia' itu masing-masing bergelar 'Datuk Seri', 'Datuk' dan seorang lagi Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA).
Bagaimanapun, salah seorang yang bercakap dengan Malaysiakini dengan syarat tidak mendedahkan nama menafikan laporan tersebut.
Sementara itu, Howladar juga berkata dirinya berasa pelik dengan tindakan segelintir pihak penguatkuasa di Bangladesh.
"Saya sudah lama berada dalam industri pengambilan pekerja Bangladesh ke luar negara. Negara kami hantar pekerja ke lebih 20 negara.
"Kalau benar ada isu pemerdagangan pekerja di Bangladesh maka siasatan perlu melibatkan semua negara yang menggaji pekerja Bangladesh.
"Tapi saya tidak faham kenapa Malaysia sahaja dijadikan sasaran siasatan," katanya.