Kerajaan tidak bercadang untuk menyemak semula keputusan memilih syarikat U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) sebagai pengendali kedua rangkaian telekomunikasi 5G di negara ini.
Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata langkah tersebut dianggap tidak perlu kerana pemilihan sudah dibuat secara bebas, dan tidak melibatkan campur tangan pentadbiran.
Bahkan, kata Fahmi, keputusan itu dibuat secara sebulat suara oleh oleh anggota Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
“Tidak (bercadang untuk semak semula). Kalau kita lihat dalam sidang parlimen apabila saya menjawab pada tempoh hari - sewaktu sesi soal jawab menteri - kebiasaannya ahli-ahli parlimen akan ambil peluang untuk bertanya lanjut.
“Dalam konteks pemilihan oleh MCMC, ia telah dilakukan secara bebas oleh pasukan teknikal dan diputuskan secara sebulat suara oleh anggota suruhanjaya.
“Pihak pentadbiran tidak terlibat, tidak masuk campur, dan saya perlu peringatkan, ini bukan kontrak,” katanya pada sidang media mingguan di Putrajaya hari ini.
Fahmi yang juga menteri komunikasi menjawab sedemikian ketika ditanya sekiranya kementerian terbabit mahu menyemak semula pemilihan itu susulan pelbagai isu yang timbul selepas keputusan itu dibuat.
Tiada dana awam terlibat
Sebelum ini Malaysiakini melaporkan bahawa kerajaan pada minggu lalu melantik U Mobile - syarikat yang berkaitan dengan Yang di-Pertuan Agong - sebagai pengendali rangkaian 5G kedua Malaysia.
Maxis Bhd - yang turut membuat permohonan sama - dalam satu kenyataan berkata ia akan melibatkan MCMC untuk mengetahui sebab pemilihan tersebut dibuat.
Bekas ahli parlimen Bangi, Ong Kian Ming, pula tampil mengecam penjelasan dan alasan MCMC melalui soalan lazim agensi itu yang dianggapnya tidak memberikan pencerahan mengapa tawaran U Mobile dianggap lebih baik berbanding pesaingnya.
"Sekiranya PH masih dalam pembangkang, kemungkinan besar penjelasan seperti ini tidak akan diterima dengan baik oleh ahli parlimen mereka," katanya dalam catatan di X semalam.
Fahmi menjelaskan pelantikan U Mobile bukanlah pemberian lesen, manakala instrumennya nanti adalah spektrum 3.6 GHz yang dikenali juga sebagai F2 yang boleh diberikan untuk membangunkan rangkaian 5G kedua.
Justeru tegas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, tidak ada dana awam yang terlibat dalam membangunkan rangkaian 5G kedua negara.
Dari aspek pengurusan dan tatakelola pula, kata Fahmi, setakat ini semuanya berjalan dengan tertib dan tidak ada campur tangan mana-mana pihak.
“Mungkin dari satu sudut ada yang bertanya: adalah pihak yang menerima ini layak?
“Dia layak untuk bertanding, sebab syarat yang dikenakan untuk sertai permohonan untuk menjadi syarikat menerajui pembangunan rangkaian 5G kedua ialah mesti lengkap perjanjian pegangan saham.
"Ada tiga syarikat saja yang layak iaitu CelcomDigi, Maxis dan U Mobile.
“Dari segi mata kasarnya ketiga-tiga ini boleh sertai permohonan, dan boleh menang, tapi seperti saya jelaskan semalam di parlimen, aspek yang diberi pertimbangan melibatkan perancangan perniagaan, perancangan teknikal untuk membangunan rangkaian dan prestasi,” kataya.
Akur keputusan MCMC
Tambah Fahmi, MCMC juga melihat ada kewajaran meneliti aspek kepuasan pengguna sedia ada atau keupayaan syarikat tersebut untuk menyiapkan kerja-kerja yang diberikan.
“Jadi kita lihat secara keseluruhan dan kalau kita buat perbandingan, CelcomDigi akan ada 18,000 menara setelah mereka melengkapkan proses integrasi, dan Maxis mempunyai 12,000 menara, manakala U Mobile 10,000 menara. Jadi tidak terlalu jauh berbeza.
“Ketiga-tiga syarikat ini layak untuk sertai permohonan dan ketiga-tiga layak untuk diangkat dan dipilih untuk membangunkan (rangkaian 5G kedua).
"Tapi apa yang MCMC telah putuskan ialah U Mobile. Saya akur dengan keputusan MCMC,” kata Fahmi.
Sementara itu ditanya apakah terdapat syarat-syarat tertentu dikenakan kepada U Mobile, Fahmi mengiyakan perkara itu namun tidak perkara itu dengan lebih lanjut.
“Ada (syarat) tapi saya rasa agak pramatang untuk saya memaklumkan apa syarat yang akan dikenakan," katanya.
Tambah Fahmi berdasarkan keputusan sebelum ini, memang ada syarat yang dikenakan oleh MCMC termasuk ketika syarikat telekomunikasi Celcom dan Digi bergabung.
“Malah kalau kita lihat dalam pelaksanaan rangkaian 5G pertama, memang di bawah Digital Negara Berhad (DNB) juga dikenakan syarat tertentu.
"Bagi rangkaian kedua sudah pasti akan ada syarat-syarat tertentu yang akan dikenakan. Tapi apakah syarat-syarat tersebut kita kena melalui proses dulu,” katanya.