Kerajaan belum mempunyai sebarang keputusan berhubung kedudukan Majlis Profesor Negara (MPN) susulan pendedahan laporan dan syor oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata bagaimanapun perkara itu sudah diberikan teguran keras oleh perdana menteri sebelum ini.
“Perkara ini tak dibincangkan dalam mesyuarat jemaah menteri, tetapi sebelum ini perdana menteri pernah memberikan teguran yang keras tentang cara beberapa perkara diuruskan.
“Tetapi belum ada kata muktamad atau, setidak-tidaknya dalam mesyuarat kebelakangan ini belum dibangkitkan,” katanya pada sidang media minggu di Putrajaya, hari ini.
Menteri komunikasi itu berkata demikian ketika ditanya sama ada MPN dikekalkan atau sebaliknya susulan cadangan dikemukakan PAC.
Semalam, laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyarankan Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengkaji sama ada MPN masih relevan dalam membantu kerajaan membangunkan negara.
Menurut laporan itu, jika JPM mahu mengekalkan MPN sebagai Syarikat Berhad Menurut Jaminan Kerajaan (CLBG), ia perlu diletakkan bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) selaras fungsi dan peranannya.
PAC menegaskan keberkesanan dan fungsi MPN kepada kerajaan tidak dapat ditentusahkan kerana Indeks Prestasi Utama (KPI) tidak ditentukan dan tidak dilaporkan kepada JPM.
[Laporan penuh menyusul]