Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan ada rancangan sandaran jika Malbatt terpaksa undur
Diterbitkan:  Nov 8, 2024 2:46 PM
Dikemaskini: 6:46 AM

Kerajaan mempunyai rancangan sandaran sekiranya keadaan di selatan Lubnan menjadi semakin meruncing berikutan tindakan agresif Israel sehingga Pasukan Interim PBB di Lubnan (Unifil) membuat keputusan untuk berundur.

Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin berkata buat masa ini komitmen negara tetap berterusan seperti negara-negara lain yang menghantar anggota tentera mereka ke Lubnan.

Katanya keadaan yang berlaku sekarang adalah situasi sama ketika negara mula menghantar pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) buat kali pertama ke sana bagi tugasan pengaman.

Mohamed Khaled berkata pihaknya sentiasa berhubung rapat dengan Unifil bagi mengetahui situasi semasa di kawasan berkenaan selain berbincang dengan negara-negara lain yang juga menghantar anggota tentera mereka ke sana.

"Bukan pasukan Malbatt sahaja yang berhadapan dengan serangan malah pasukan dari negara lain seperti Indonesia dan Ireland turut menghadapi situasi yang sama.

"Ia menjadi reputasi negara untuk terus bersama-sama dengan pasukan pengaman Unifil yang dianggota lebih 40 negara bagi menjaga keamanan di kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama Radio bagi mengulas situasi terkini anggota Malbatt di Lubnan.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata anggota yang dihantar ke selatan Lubnan adalah askar terlatih dan bersedia serta mengetahui risiko yang mereka hadapi ketika bertugas sebagai pasukan pengaman.

"Mereka ini bukan rakyat biasa," katanya.

Semalam seramai enam anggota Malbatt disahkan cedera susulan letupan yang berlaku berdekatan Stadium Saida. Ia terjadi ketika anggota Malbatt 850-12 bergerak dari Beirut ke Kem Marakah pada jam 1.54 tengah hari (7.54 malam waktu Malaysia).

Mohamed Khaled juga memaklumkan seorang anggota Malbatt yang cedera di tangan sedang menerima rawatan di Hospital Hamood di Saida manakala lima yang lain cedera ringan dan selamat sampai di Kem Marakah.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata kejadian berpunca daripada serpihan letupan sebuah kereta yang belum diketahui puncanya sama ada akibat tembakan dron atau pesawat tentera Israel.

"Serpihan letupan berkenaan menyebabkan cermin depan dan belakang sebuah daripada bas yang membawa rombongan Malbatt 850-12 pecah dan enam anggota cedera termasuk anggota pengiring Malbatt 850-11," katanya.

Pada Rabu lepas penghantaran pertama pasukan Malbatt 850-12 melibatkan 220 pegawai dan anggota pangkat lain dilakukan bagi meneruskan misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Penugasan dan penghantaran pasukan Malbatt 850-12 diatur gerak secara berperingkat melibatkan 854 pegawai dan anggota termasuk pasukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei serta seorang pegawai awam bermula 6 Nov hingga 18 Nov ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS