Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sijil UEC ada kelebihan, lebih global - Tajuddin tegur Razman

Ketika dunia semakin mengecil akibat globalisasi, ruang untuk minda lapuk juga semakin terhad, kata akademik Tajuddin Mohd Rasdi.

Dengan peluang pekerjaan yang kini tidak lagi terikat kepada sempadan geografi, katanya rakyat Malaysia perlu menyesuaikan diri untuk kekal berdaya saing.

Profesor seni bina tersebut menekankan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) memiliki kelebihan pada era globalisasi.

"Masa depan pendidikan mengenai globalisasi. UEC mempunyai pandangan yang lebih global dan ini penting untuk kelangsungan hidup masa kini.

Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria.

"Saya tidak berpihak kepada UEC, tetapi bercakap secara terbuka sebagai seorang akademik yang melihat perubahan dan kepentingan menyesuaikan diri dengan perubahan demi kebaikan," katanya kepada Malaysiakini.

Tajuddin berkata kurikulum pendidikan Malaysia, sama ada di sekolah atau madrasah, memerlukan penambahbaikan segera, tetapi mereka yang berkuasa kurang berani untuk melaksanakannya.

Dia mengulas kenyataan Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria yang mendakwa UEC sebagai ancaman kepada 'penguasaan' orang Melayu.

Namun, Tajuddin berkata Razman mempunyai pemikiran di dalam “tempurung” yang berpendapat pendidikan harus kekal tidak berubah untuk memelihara status quo.

"Dia masih berpaut kepada idea kekampungan Malaysia, sedangkan dunia sekelilingnya menyaksikan perubahan dan kemajuan pesat.

"Ini kerana perubahan dilihat ancaman kepada ahli politik sepertinya yang tidak mampu menyesuaikan diri atau bersaing dalam isu-isu yang memerlukan pemikiran mendalam.

"Razman melihat masa lalu dan enggan berubah. Maka dia mengulang naratif lama tentang bangsa dan pendidikan usang untuk mengitar semula strategi lama Umno," kata Tajuddin lagi.

Tahun lalu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kerajaan tiada rancangan untuk mengiktiraf UEC - peperiksaan sekolah menengah Cina yang setara dengan SPM - kerana ketidakserasiannya dengan dasar pendidikan negara dan peruntukan Akta Pendidikan 1996.

Berdasarkan kenyataan Razman, Tajuddin turut menyoal jika faktor kaum telah mengatasi agama dalam perjuangan PAS.

"Jika PAS masih berdiri atas dasar Islam, adakah ia menyokong pemikiran kesukuan atau ‘Assabiyah’ yang ditolak oleh reformis awal Islam?

"Adakah Nabi Muhammad SAW menyatakan dalam khutbah terakhir baginda bahawa warna kulit tidak penting melainkan fikiran dan amalan yang baik," soalnya lagi.

Tajuddin juga ingin tahu secara hipotesis sama ada Razman akan tetap berpandangan sama atau tidak jika majoriti bukan Melayu di Perak memilih untuk memeluk Islam.

"Adakah PAS akan terus mendakwa kaum majoriti mesti memerintah atau adakah PAS akan menukar pendiriannya, seperti yang telah dilakukan beberapa kali sebelum ini, mengikut perkembangan baru untuk kekal relevan?

"Jika ini berlaku, maka sudah tiba masanya Parti Islam Semalaysia menukar namanya kepada Parti Melayu Semalaysia," tambahnya.

Tajuddin pengkritik tegar PAS terutamanya politik Islam versi parti itu yang didakwanya boleh menjejaskan perpaduan negara.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS