Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin turunkan hantaran berkaitan Guan Eng
Diterbitkan:  Nov 8, 2024 1:12 PM
Dikemaskini: 8:57 AM

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin akan menurunkan hantaran media sosialnya berkaitan Lim Guan Eng sebagai mematuhi keputusan mahkamah hari ini.

Ia dibuat selepas hakim mendapati bekas perdana menteri itu bersalah memfitnah Lim.

Bagaimanapun di sebalik keputusan mahkamah itu Muhyiddin memberitahu dia akan membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan bagi membatalkan sabitan yang memihak kepada bekas menteri kewangan terbabit.

"Walaupun saya menghormati keputusan mahkamah, saya sangat kecewa dengan keputusan itu.

"Saya telah mengarahkan peguam saya untuk merayu keputusan itu kerana saya percaya bahawa kenyataan saya tidak memfitnah (Lim) dan bahawa saya mempunyai pembelaan yang baik terhadap tuntutan itu, dan bahawa jumlah yang diberikan oleh mahkamah adalah berlebihan.

"Sebagai mematuhi keputusan mahkamah, saya akan mengalih keluar hantaran yang menjadi subjek tindakan ini dari Facebook dan media sosial saya," kata Muhyiddin dalam kenyataannya tengah hari ini.

Ia menyusul selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Muhyiddin memfitnah Lim dalam isu pembatalan status pengecualian cukai terhadap Yayasan Albukhary.

Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain memerintahkan Muhyiddin membayar ganti rugi kepada Lim sebanyak RM1.35 juta.

Menurut Roz Mawar, Muhyiddin tidak cuba membuat pengesahan sebelum mengeluarkan kenyataan tersebut. Hakim juga menganggap dakwaan dibuat Muhyiddin sebagai tidak berasas.

Hakim turut menegaskan bahawa keterangan Lim - bahawa dia tidak pernah mengeluarkan sebarang pekeliling untuk membatalkan status pengecualian cukai tersebut - tidak dapat dicabar semasa perbicaraan penuh.

Kata Roz Mawar, saksi defendan sendiri - seorang pegawai dari Kementerian Kewangan - mengesahkan bahawa semasa memegang jawatan menteri kewangan, Lim tidak pernah mengeluarkan sebarang surat berhubung perkara tersebut.

Muhyiddin merupakan menteri dalam negeri semasa PH menjadi kerajaan antara 2018 hingga Feb 2020.

Peguam Guok Ngek Seong mewakili Lim, manakala Chetan Jethwani bertindak bagi pihak Muhyiddin.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS