Polis menumpaskan sindiket penyeludupan melibatkan 15 ekor lembu disyaki dibawa dari Thailand dalam Operasi Taring Wawasan semalam.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata lembu yang dipercayai seberat 7,500kg itu dianggarkan bernilai RM112,500.
Katanya PGA menahan sebuah lori dipandu seorang lelaki tempatan kerana dilihat berada dalam keadaan mencurigakan di Kampung Bembam, Pasir Mas kira-kira jam 6.50 petang.
Menurut Nik Roz Azhan, hasil pemeriksaan mendapati suspek itu bertindak sebagai penghantar untuk menyeludup haiwan berkenaan ke pasaran tempatan.
"PGA mendapati suspek berusia 31 tahun itu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.
"Suspek dan barang rampasan dibawa ke Komtak PGA Jeram Perdah untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Nik Roz Azhan memberitahu, PGA juga menumpaskan kegiatan penyeludupan pokok hiasan di Jejawi, Pasir Mas selepas menahan sebuah kereta Proton Persona yang dipandu lelaki tempatan kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.
Katanya hasil pemeriksaan mendapati terdapat lebih 120 pokok hiasan jenis Bromeliad yang dipercayai diseludup dari Thailand ditemukan di dalam kenderaan itu dan ia dibawa tanpa dokumen yang sah.
Dia berkata suspek terbabit berusia 31 tahun dan dipercayai bertindak menjadi penghantar pokok hiasan itu ke pasaran tempatan.
"Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM6,350.
"Kes disiasat mengikut Akta Kuarantin Tumbuhan 1976. Suspek dan kesemua barang rampasan dibawa ke Komtak PGA Jeram Perdah untuk tindakan lanjut," katanya.
- Bernama