Tatkala ramai pempengaruh menghasilkan kandungan yang lebih terarah kepada makanan, gaya hidup mahupun lokasi menarik percutian, Marissa Wong pula memilih ‘tandas’ di negara ini untuk dijadikan bahan ulasan.
Pengalaman buruk menggunakan tandas awam, menjadi ‘titik permulaan’ kepada pelawak komediri (stand-up comedian) dan pempengaruh ini untuk mengangkat isu kebersihan tandas awam di platform media sosial dalam usaha membangkitkan kesedaran masyarakat terhadap isu yang kerap kali dianggap remeh ini.
Biarpun topik pilihannya itu disifatkan sebagai kotor mahupun jijik, wanita berusia 28 tahun ini akhirnya dilihat berjaya menarik perhatian umum menerusi gayanya yang santai dan menghiburkan melalui akaun TikToknya @marissawong96 dengan tanda pagar #berakbersamamarissawong, sejak dua tahun lepas.
“Idea ini timbul selepas saya perhatikan, hampir semua pempengaruh membuat ulasan mengenai makanan, jadi sebagai kelainan, saya fikir, apa salahnya jika saya buat ulasan mengenai kebersihan tandas. Topik ini memang tidak glamor tetapi sangat penting dalam kehidupan seharian,” katanya kepada Bernama.
Mempunyai lebih 116,000 pengikut di TikTok, antara video yang mencuri perhatian ramai adalah ulasannya mengenai tandas awam di sebuah restoran di Bangsar dengan jumlah tontonan sehingga 1.2 juta dalam tempoh 24 jam sahaja selepas dimuat naik di laman sosial TikToknya, September lepas.
Hasil pemerhatiannya, Marissa atau nama sebenarnya Wong Wern Chin mendapati, kebanyakan tandas awam di negara ini masih lagi jauh menepati standard kebersihan asas apabila tiada bekalan sabun, tisu, lantai basah dan kotor, tiada pengudaraan, fasiliti rosak selain sukar diakses golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Bagi anak kelahiran Subang Jaya, Selangor ini, polemik tandas yang sering disifatkan ramai sebagai enteng ini tidak hanya menyukarkan pengguna jika tidak diatasi, akan tetapi juga, berimpak negatif kerana berisiko menjejaskan imej negara di mata dunia.
“Saya berpandangan, soal kebersihan tempat awam termasuk tandas, seharusnya diberikan perhatian serius kerana ini akan mencerminkan budaya, sikap dan tanggungjawab sosial masyarakat sesebuah negara.
“Tandas yang tidak terjaga bukan sahaja boleh menimbulkan isu kesihatan seperti penyebaran penyakit berjangkit, kedatangan pelbagai haiwan tetapi juga memberi impak negatif terhadap sektor pelancongan dan ekonomi negara,” kata wanita kacukan Cina dan Thai ini
Biarpun demikian, wanita lulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Muzik Popular dan Seni dari United Kingdom ini turut mendapati, isu tandas awam di negara ini bukan sekadar bermasalah daripada sudut kebersihan tetapi juga vandalisme.
“Saya dapati, ada tandas yang bersih tetapi rosak akibat vandalisme. Untuk individu sebegini, saya syorkan mereka didenda dengan mengenakan hukuman mencuci tandas awam dalam tempoh tertentu. Mungkin kerajaan boleh jadikan hukuman ini sebagai satu undang-undang baharu?” katanya.
Oleh kerana itu, wanita ini berharap pendekatan yang dilakukannya menerusi platform media sosial itu akan dapat membentuk sahsiah positif dalam diri setiap individu untuk lebih peka dengan kepentingan bersama menjaga tandas awam dan tidak menyerahkannya kepada pemilik premis semata-mata.
Marissa turut menyatakan rasa gembira apabila kandungannya itu tidak sekadar menerima respons positif masyarakat, tetapi juga pihak pengurusan yang semakin terbuka serta komited untuk menambah baik serta menyediakan persekitaran tandas awam yang lebih bersih dan selesa untuk orang ramai.
Dalam pada itu, dia juga memuji inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang begitu memberi penekanan untuk meningkatkan kualiti kebersihan tandas awam sejak tahun lepas.
“Ini adalah satu tindakan tepat kerana sepatutnya sudah dibuat sejak dulu lagi. Saya percaya, kebersihan tandas awam turut menjadi satu aspek membanggakan negara sejajar dengan usaha untuk meningkatkan imej Malaysia di mata pelancong dan rakyat,” katanya.
- Bernama