Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

WAWANCARA | PAS Perak melahirkan kebimbangan mereka terhadap dua isu yang dilihat memberi ancaman kepada 'penguasaan Melayu' di negara ini.

Dalam wawancara eksklusif bersama Malaysiakini baru-baru ini, Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria berkata kebimbangan itu adalah desakan supaya kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Dakwa Razman, dua program itu adalah usaha pihak tertentu untuk membolehkan masyarakat bukan Melayu memperoleh kekuasaan yang tidak sepatutnya di Malaysia.

Menyentuh program MM2H untuk menarik warga asing menetap secara jangka panjang di negara ini, Razman melahirkan kebimbangan PAS yang ia boleh mengakibatkan perubahan dasar yang ketara.

“Sebagai contoh, katakan penduduk di sini perlukan 1,000 buah rumah, yang hang (kamu) buat 2,000 buah buat apa?

"Apabila rumah tidak terjual, maka kita kena buka jualan kepada orang luar melalui (inisiatif) MM2H.

“Siapa yang membeli rumah-rumah ini? Antara semua penduduk, siapakah yang layak menjadi penduduk tempatan?

"Ini menimbulkan ancaman sebenar kepada negara kita, sebab itu kita mesti jaga. Langkah seterusnya mungkin perubahan dasar,” katanya.

Puji kefasihan Wee, Nga

Selain itu dia yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Perak menyinggung mengenai sistem pendidikab di Malaysia yang didakwanya terancam dengan desakan mengiktiraf UEC.

Menurut Razman, walaupun terdapat pelbagai pilihan dalam aliran pendidikan— seperti orang Melayu yang memilih belajar di sekolah agama dan bukannya institusi awam — mereka yang ingin bekerja dalam perkhidmatan kerajaan mesti mempunyai kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Untuk lulus SPM, seseorang itu mesti lulus (mata pelajaran) Sejarah dan Bahasa Melayu, membuktikan mereka boleh berbahasa Melayu dan memahami sejarah negara,” katanya.

Razman kemudian memberikan beberapa stereotaip Cina tentang frasa yang disalah sebut seperti "sila duduk" (sila duduk) sebagai "sila luluk" dan "jangan terburu-buru" sebagai "jangan terbulu-bulu."

"Tapi sekarang kita tengok di Parlimen, sila luluk jangan terbulu-bulu ini bukan (dari) sekolah ini (arus perdana).

"Kita boleh tengok kalau yang sekolah aliran arus perdana, ada contohnya macam Presiden MCA Wee Ka Siong atau (Ahli Parlimen DAP) Nga Kor Ming, bahasa dia lain.

"Kalau dia sekolah ini (UEC) kemudian pergi (sambung belajar) di Taiwan. Yang kita sedihkan sangat dia lalui sistem lain tetapi diminta diiktiraf dan diterima.

"Sebab itu pada pandangan saya, ia sedang menggambarkan Malaysia ini adalah bukan hak Melayu dominan saja.

Wee Ka Siong

"Sebab itu dalam (sambutan) kemerdekaan nak diletakkan bahasa Cina dan sebagainya di papan tanda dan nak letakkan dwibahasa, sepatutnya satu bahasa sahaja kalau kita betul-betul nak integrasi antara kaum," tambah Razman.

Pada tahun lalu Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menegaskan kerajaan tiada perancangan untuk mengiktiraf UEC dan pendirian itu dibuat berasakan Dasar Pendidikan Negara dan peruntukan dalam Akta Pendidikan 1996.

Namun, Razman memberi amaran bahawa jika kepimpinan negara jatuh ke tangan pihak “minoriti” keadaan itu juga boleh menjejaskan sistem pendidikan.

Dakwanya, pihak minoriti terbabit mungkin menyekat pengajaran Jawi, malah al-Quran dan hadis.

Perlu empat saja lagi

Justeru, tegasnya, demi keharmonian berkekalan, negara harus kekal di bawah kepimpinan kaum majoriti dan banyak contoh boleh diambil menyaksikan pentadbiran oleh majoriti masyarakat Islam mewujudkan keamanan.

“Di Perak misalnya, terdapat 29 peratus pengundi bukan Melayu. Ini bermakna daripada 100 orang, 71 orang Melayu dan selebihnya 29 orang (bukan Melayu).

“Jika 29 memutuskan dasar untuk 71 orang, bolehkah kita mencapai keamanan? Itulah persoalannya.

“Sebab itu saya kata pihak yang 71 orang mesti memerintah negara, sebab itu kita nak tingkatkan kesedaran tentang kepentingan kuasa politik.

“Apabila kuasa politik tiada, mereka boleh menggubal undang-undang kita dan mentadbir mengikut suka hati merekalah. Kita bukan bersikap perkauman, tetapi penting untuk menyuarakan kebimbangan ini di kalangan orang Melayu,” jelasnya.

Dalam perkembangan berasingan Razman optimis ahawa gabungan PN akan memperoleh majoriti dalam pilihan raya negeri akan datang sekali gus membolehkan mereka menjadi kerajaan.

Jelasnya, PN kini menguasai 26 daripada 59 kerusi DUN dan hanya memerlukan empat lagi untuk membolehkan mereka menguasai kerajaan negeri itu.

“Perak ada 59 kerusi, dan untuk membentuk kerajaan negeri, kita (PN) perlukan 30. Sekarang kita ada 26.

“Kita akan pertahankan kerusi kita dan insya-Allah tingkatkan kesedaran yang membawa kita mentadbir negeri, memastikan kita menguruskannya dengan baik. Saya yakin dengan keputusan ini,” katanya.

Pada pilihan raya umum lalu, tiada satu gabungan pun memenangi kerusi yang mencukupi di Perak untuk membentuk kerajaan negeri.

PH memenangi 24 kerusi DUN, manakala BN sembilan menyaksikan mereka bergabung mentadbir negeri itu diterajui Saarani Mohammad yang dilantik semula sebagai menteri besar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS