Pemuda PKR (AMK) kesal dan terkejut terhadap kejadian rakyat Malaysia anggota Batalion Malaysia 850-12 (Malbatt 850-12) telah cedera dalam serangan Israel di Sidon.
"Di bawah kepimpinan Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim, Malaysia mengecam keganasan sebegini dan menggesa komuniti antarabangsa agar mendakwa mereka yang bertanggungjawab.
"Keselamatan penjaga keamanan mesti dilindungi dan sebarang ancaman terhadap mereka merupakan ancaman terhadap keamanan itu sendiri.
"Doa dan sokongan kami bersama anggota kita yang cedera serta keluarga mereka pada saat yang sukar ini," kata ketua AMK Adam Adli pada kenyataan.
Adam yang juga timbalan menteri belia dan sukan menggesa semua pihak untuk menghormati mandat serta keselamatan pasukan pengaman yang bertugas di Lubnan dan kawasan lain.
"Anggota Malaysia ini, yang berani berkhidmat sebagai penjaga keamanan, terkena serpihan dalam insiden yang telah meragut nyawa tiga orang awam Lubnan dan mencederakan beberapa yang lain, termasuk anggota tentera Lubnan.
"Tindakan melulu ini meletakkan penjaga keamanan dan orang awam dalam bahaya yang serius dan mengancam kestabilan di kawasan yang sudah tegang," katanya lagi.
Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan enam anggota Batalion Malaysia (Malbatt) cedera susulan insiden letupan yang berlaku berdekatan Stadium Saida, Lubnan ketika pergerakan anggota MALBATT 850-12 dari Beirut ke Kem Marakah pada 1.54 petang waktu Lubnan atau 7.54 malam waktu Malaysia semalam.
Letupan tersebut, kata ATM menyasarkan sebuah kenderaan awam lain yang sedang menghala ke Beirut namun turut mengakibatkan kerosakan pada sebuah bas yang membawa anggota MALBATT 850-12.
“Akibat kejadian tersebut, seramai enam orang anggota MALBATT 850 mengalami kecederaan iaitu lima anggota daripada MALBATT 850-12 yang mengalami pelbagai kecederaan ringan.
“Seorang daripada mereka mengalami kecederaan di bahagian tangan (disyaki patah tertutup pada lengan kiri) dan seorang lagi melibatkan anggota MALBATT 850-11 yang turut mengalami cedera ringan,” menurut kenyataan tersebut.
ATM memaklumkan anggota yang cedera di tangan telah segera dibawa ke Hospital Hamood di Saida untuk mendapatkan rawatan oleh pegawai perubatan MALBATT 850-11.