Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN | Semakin hari semakin galak nampaknya 'usik-mengusik' di antara kumpulan yang menggelarkan diri mereka Asha'irah dengan kumpulan Salafi.

Jika tidak diharmonikan dengan kefahaman dan sikap yang betul, pertembungan itu boleh terlajak jauh lalu membenamkan umat ke dalam pertelingkahan yang merugikan.

Perkara yang dibincangkan sama ada furuk akidah atau furuk fiqh bukanlah sesuatu yang baru timbul, sebaliknya wujud sejak sekian lama dibincangkan oleh para ulama sepanjang zaman.

Ada masanya mereka berbincang dan saling berlapang dada sesama sendiri, dan ada zaman tertentu pergeseran itu sampai ke peringkat mengkafir atau memfasikkan pihak lawan.

Nampaknya keadaan yang kedua inilah yang mungkin berlaku pada waktu ini.

Sesetengah perbincangan akidah atau fiqh sepatutnya tidak dijadikan sebagai perbincangan orang awam kerana ia boleh membuka ruang kekeliruan.

Orang awam tidak akan faham kenapa lafaz perintah pada hadis "Solatlah kamu sebagaimana kamu lihat aku solat" sebagai wajib sedangkan lafaz perintah pada ayat "Makanlah kamu dan minumlah" sebagai harus.

Kenapa tidak semua lafaz perintah (amar) menunjukkan wajib?

Orang awam juga tidak akan tahu untuk membezakan di antara ilmu, khalq, iradah dan qudrah ketika membincangkan berkenaan kaitan batas perbuatan manusia dan mutlaknya kuasa Allah.

Masalah kefahaman anak murid

Ulama faham implikasi perbezaan kefahaman antara perkara-perkara di atas. Ada keadaan yang boleh membawa kepada kufur dan ada yang tidak membawa kepada kufur.

Mengetahui ada dan wujud satu-satu dalil adalah satu perkara. Mengetahui apa yang ditunjukkan oleh dalil (wajh dilalah) tersebut adalah satu perkara lain.

Orang yang membaca al-Quran dan hadis tahu dalil ini dan dalil itu wujud. Tetapi hanya penuntut ilmu usul fiqh yang mengetahui wajh dilalah dalil tersebut menunjukkan ia harus, sunat, wajib, haram atau makruh.

Ketika belajar dahulu, pernah guru kami menyebut bahawa antara perkara yang mungkin akan menimbulkan kekeliruan kepada orang awam ialah nama dan sifat Allah.

Apabila kembali ke Malaysia dahulu, pernah kecoh masyarakat mengkritik Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana mengatakan Tuhan samseng.

Nik Abdul Aziz Nik Mat

Saya berpendapat tidak salah menerangkan kepada masyarakat bahawa al-Jabbar (Yang Amat Gagah dan Tidak Boleh Dihalang Kehendaknya) dan al-Muntaqim (Yang Maha Pendendam) sebagai 'samseng' dalam bahasa orang awam.

Masalah sebenarnya bukan pada kalam almarhum itu tetapi kepada kefahaman anak murid yang belum memahami lagi bahawa semua sifat Allah mesti berdiri di atas asas laitha kamithlihi syai'un iaitu Allah sekalil-kali tidak sama dengan makhluk.

Allah kata Dia pemurah, tetapi pemurah Allah tidak sama dengan pemurahnya manusia. Allah kata Dia berilmu, namun berilmunya Allah tidak sama dengan berilmu manusia.

Jika masyarakat faham begini sejak awal, mereka akan faham bahawa 'samseng' Allah tidak sama dengan samseng orang Kampung Dusun.

Elok duduk semeja

Satu lagi yang sedang berlaku sekarang ialah setiap pihak menyerang pihak yang satu lagi menggunakan andaian bahawa pihak berkenaan berpandangan demikian demikian sedangkan pihak satu lagi bermaksud lain daripada kalamnya.

Sebagai contoh dalam isu ayat sifat (termasuk dalam ayat mutasyabihat) cuba perhatikan kalam sebenar dari asal aliran masing-masing (saya tidak sebutkan nama mereka) apabila membincangkan berkenaan yad (tangan) dalam nas:

Generasi salaf (awal umat Islam) berkata: “Amirruha kama ja'at bila kaif” yang bermaksud "ambil ia (fahami ia) sebagaimana ia datang (daripada nas) tanpa (memikirkan) bentuknya."

Generasi seterusnya mentakwil yad dengan makna kuasa dan sebagainya dengan mengambil kira segala kaedah bahasa Arab (nahu, saraf, balaghah dan sebagainya).

Generasi kemudian dari itu menetapkan (ithbat) secara nisbi (mengiyakan wujud) yad (tangan) tetapi menegaskan ia tidak sama dengan yad (tangan) makhluk.

Kesemua bersepakat pada usul akidah iaitu laitha kamithlihi syai'un iaitu Allah sekali-kali tidak sama dengan mana-mana makhluk. Dan inilah namanya khilaf.

Dari mana boleh datang tuduhan bahawa ada pihak yang mujassim atau musyabbih (menjasadkan Allah seperti mahkluk) atau muattil (menafi dan menolak secara mutlak ayat sifat tersebut)?

Begitulah juga jika kita bincangkan tentang bidaah dan sebagainya.

Saya tidak mahu bincangkan di sini kerana takut penulisan pendek ini tidak mampu menyampaikan maksud yang saya ingin sampaikan.

Saya menyeru semua tokoh kedua-dua aliran tadi agar duduk semeja dan berdiskusi secara tertutup. Carilah titik persamaan di dalam isu bidaah, istighathah, tawasul dan sebagainya.

Kemudian keluarkanlah kenyataan bersama yang akan menyatukan kembali umat Islam ini.

Daripada kenyataan itu, mana-mana anak murid yang masih tegar mahu 'bergaduh', keluarkanlah dari madrasah masing-masing.

Biarkan mereka membentuk madrasah sendiri yang tidak mewakili aliran kalian.

Yang ekstrem mempertahankan Sifat 20, sudah ada yang terlajak melarang pelajar menyanyikan lagug Asma'ul Husna. Ini sebenarnya tidak mewakili kedua-dua aliran tadi, sebaliknya tanpa sedar mereka menjadi aliran ketiga yang patut ditolak oleh semua.

Wallahu a'lam.


MUHAMMAD FAUZI ASMUNI ialah perunding kanan perhubungan antarabangsa Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS