Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mangsa kes pukul junjung kasih Tengku Hassanal
Diterbitkan:  Nov 7, 2024 10:43 PM
Dikemaskini: 2:43 PM

Bekas pekerja pembinaan yang didakwa diserang sekumpulan individu termasuk kerabat diraja menjunjung kasih kepada Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah susulan pertuduhan mahkamah berhubung kesnya.

Alias Awang, 44, menyifatkan keprihatinan Tengku Hassanal mengenai kesnya itu membolehkan kumpulan terbabit didakwa dan kini dia menyerahkan kepada proses undang-undang untuk memberikan keadilan kepadanya.

"Saya hanya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tengku Mahkota Pahang kerana membantu dan memberikan keadilan kepada saya.

"Bagaimanapun, memandangkan kes ini sudah di mahkamah, biarlah undang-undang yang memutuskan," katanya seperti dilapor Berita Harian.

Awal hari ini, seorang kerabat diraja Pahang dan anggota polis antara lima yang didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan atas pertuduhan menyebabkan kecederaan menggunakan pisau pada Jun lalu.

Tertuduh, Tengku Eddie Akasya Tengku Abd Rahman, 20, yang merupakan anak Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah itu dituduh bersama Nik Norhisham Affendi Nik Mohd Zani, 39, Mohd Fouzi Md Nur, 44, Mohd Taufik Daud, 44, dan Khairul Azhar Rosli, 38.

Tengku Eddie Akasya Tengku Abd Rahman

Tengku Abdul Rahman ialah adik kepada Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Salah seorang daripada tertuduh—Mohd Fouzi—berkhidmat sebagai anggota polis. Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan, lapor media.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh bersama-sama mencederakan paha Alias menggunakan pisau di kawasan lot tanah bangsal kuda, Jalan Teluk Sisek di Kuantan pada 6 Jun.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, didenda, disebat atau mana-mana daripada dua hukuman itu.

Malaysiakini pada 5 September lalu melaporkan seorang kerabat diraja Pahang bersama sekumpulan orang didakwa menyerang dan mencederakan Alias menggunakan pisau.

Nama Eddy tidak didedahkan ketika itu kerana dia belum dituduh di mahkamah.

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah

Susulan itu, Tengku Hassanal bertitah supaya polis mengambil tindakan tegas terhadap kerabat diraja negeri itu yang didakwa menyerang orang awam.

"Saya mahu tindakan tegas dan siasatan yang adil, tanpa sebarang kompromi.

"Tiada sesiapa pun yang lebih tinggi dari undang-undang, termasuk kerabat diraja," titah baginda di media sosial.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS