Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kita perlu beri sumbangan bantu operasi media - Fahmi

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini menyatakan bahawa semua pihak perlu memainkan peranan dalam menyokong operasi media ke arah menegakkan kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar.

Fahmi dalam ucapan penggulungannya pada akhir perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 menjawab Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) yang membangkitkan nasib pekerja media yang terjejas oleh trend industri yang semakin membimbangkan.

“Realitinya untuk memastikan kebebasan bersuara dan kebebasan media kalau ungkapan dalam bahasa Inggerisnya we want freedom of the press but the press is not free or you can't watch it for free (kita mahu kebebasan media tapi media bukan percuma atau anda tidak boleh mengakses dengan percuma). Maksudnya kita kena contribute (sumbang) sikit dengan izin," katanya.

"Memang benar dalam tempoh tiga hingga empat tahun lepas, saya dimaklumkan oleh rakan-rakan dalam media bahawa trend itu secara umumnya membimbangkan," kata Fahmi merujuk kepada kehilangan pekerjaan dan tidak dibayar atau gaji tertunda di pelbagai organisasi media.

“Ini adalah trend secara keseluruhan. Kita tidak berhasrat untuk mengambil tindakan seperti Australia ataupun Canada di mana berlaku pertembungan yang keras dan tajam antara kerajaan dan syarikat-syarikat media sosial yang memaksa mereka untuk membayar bagi tujuan pengiklanan media.

“Dan dianggarkan perbelanjaan pengiklanan semasa (untuk media) telah menurun daripada RM4.5 bilion kepada RM2 bilion, bermakna semua rakan dalam media telah terjejas,” katanya.

Wan Saiful sebelum ini menekankan bahawa kebajikan wartawan adalah aspek penting dalam menegakkan kebebasan media, sambil menyatakan bahawa Fahmi beberapa kali mengulas situasi yang dihadapi oleh pekerja media di pelbagai syarikat, termasuk portal dalam talian The Vibe dan The Malaysian Insight.

Wan Saiful, bagaimanapun, mempersoalkan sama ada dakwaan hubungan politik menyebabkan tiada tindakan terhadap pemilik dua portal dalam talian itu, berikutan aduan yang dilaporkan mengenai kelewatan dalam pembayaran gaji dan caruman wajib.

Fahmi, sebagai maklum balas, berkata: “Jadi di sini saya dalam Dewan yang mulia ini memberi teguran keras kepada semua pemilik-pemilik syarikat, tidak ada konsep mencari perlindungan malah dia bukan sekadar beberapa syarikat yang dimaksudkan. Ada beberapa yang lain juga syarikat yang membuat penyiaran yang berhutang berpuluh ribu, beratus ribu, berjuta pun ada."

Sementara itu, mengenai perkara berkaitan, Fahmi berkata kerajaan tidak lama lagi akan mengumumkan peruntukan untuk menubuhkan Majlis Media Malaysia melalui memorandum kabinet.

“Dana permulaan ini akan diguna pakai untuk pengoperasian awal Majlis Media Malaysia sebelum ia boleh beroperasi dengan dana sendiri.

"Bagi tujuan ini jawatankuasa protem telah menyediakan plan kewangan jangka masa panjang dengan menyasarkan sumber kewangan dari sumber-sumber lain,” katanya.

Wan Saiful sebelum ini mempersoalkan ketiadaan peruntukan khusus di bawah Belanjawan 2025 untuk menubuhkan Majlis Media Malaysia melalui Rang Undang-undang yang akan dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada sidang Dewan Rakyat sekarang ini.

Cadangan penubuhan majlis media adalah untuk membangunkan dan melaksanakan kod etika pelaporan yang boleh memperkasakan profesion kewartawanan negara dan memastikan pelaporan berita oleh media dilakukan dengan penuh tanggungjawab.

Ia juga berfungsi untuk menggalakkan komunikasi antara pengamal media, kerajaan dan orang ramai, serta menyokong pembangunan profesional wartawan dan organisasi media.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS