Pelaksanaan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang dijadual Januari tahun depan dibuat selepas kajian akademik yang mendalam oleh Kementerian Pertahanan.
Menterinya, Khaled Nordin berkata usaha mengembalikan PLKN juga dibuat bagi memupuk semangat patriotisme dan nilai jati diri yang baik kepada golongan anak muda di negara ini.
“Walaupun ada pandangan sedemikian (PLKN tak sesuai dilaksanakan semula), saya ingin memaklumkan bahawa kerajaan telah putuskan untuk laksanakan semula PLKN 3.0.
“Keputusan kerajaan ini bersandarkan kepada kajian terperinci dan mendalam yang telah dibuat melalui kajian akademik oleh Kementerian Pertahanan sendiri.
“Kedua, kementerian juga berpendapat bahawa usaha memupuk patriotisme dan nilai jati diri yang baik dalam diri anak muda bukanlah bersifat sampingan, sisipan atau secondary kepada negara.
“Bukan saja ia sesuatu yang tidak boleh di kompromi atau ditangguh-tangguh dengan pelbagai alasan malah dalam keadaan dan situasi mencabar seperti sekaranglah perkara ini semakin diperlukan,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat, hari ini.
Khaled berkata demikian mengulas pandangan yang dibangkitkan Chow Yu Hui (PH-Raub) sebelum ini.
Pada 29 Oktober lalu Chow dilaporkan membantah pelaksanaan PLKN 3.0, yang disifatkan menelan belanja besar dan keberkesanannya bagi memupuk semangat patriotisme masih dipersoalkan.
Chow berkata, ini kerana sejak PLKN dilaksanakan pada 2004 hingga 2018, kerajaan sudah membelanjakan RM8.4 billion dan pelbagai isu timbul mengenai program itu, sama ada dalam aspek pelaksanaan, keberkesanan ataupun kos yang terbabit.
Chow berkata, keputusan kerajaan menghentikan PLKN pada 2018 perlu dikaji bagi melihat sama ada ia benar-benar memberikan nilai tambah kepada belia atau sekadar menjadi program rutin tanpa perubahan yang signifikan.
Selain itu, Khaled juga menyambut baik cadangan Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang-PH) untuk jawatankuasa khas memantau pelaksanaan PLKN 3.0 kali ini.
“Saya terima dengan baik dan kita akan cuba lakukan yang terbaik seperti mana yang dicadangkan Ledang lebih-lebih lagi untuk kerjasama jawatankuasa khas Parlimen mengenai keselamatan dan sebagainya,” katanya ringkas.
PLKN 3.0 akan dilaksanakan secara berperingkat bermula Januari tahun hadapan hingga Mac, selama 45 hari.
Dianggarkan kira-kira 200 peserta akan menjalani latihan terbabit sebagai permulaan di kem tentera, di Kuala Lumpur sebelum diperluaskan ke 13 kem di seluruh negara menerusi pelaksanaan penuh pada 2026.