PARLIMEN l Menteri Pertahanan Khaled Nordin hari ini menyelar sikap sesetengah ahli parlimen tertentu yang katanya secara berterusan menggunakan Dewan Rakyat untuk mempersoalkan keupayaan ketenteraan Malaysia untuk melindungi wilayahnya di Laut China Selatan.
Katanya, tindakan sedemikian tidak membantu keadaan dan juga membuka Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada spekulasi dan prasangka.
“Dalam hal ini adalah penting untuk semua pihak, kerajaan atau pembangkang, bersama-sama menunjukkan kepercayaan kepada pihak ATM dan agensi penguatkuasa yang lain.
“Kita mesti tunjukkan sokongan kepercayaan dan keyakinan kepada ATM dan semua anggota kita yang memberikan khdimat terbaik dalam perkara ini.
“Adalah tidak membantu jika Dewan yang mulia ini terus menerus digunakan sepanjang masa sebagai medan untuk meragui, mempertikai, atau menakut-nakutkan atau mempolitikkan keadaan di Laut Cina Selatan atau terus-menerus menuntut pendedahan tentang keupayaan ATM memelihara kedaulatan negara.
“Perkara tersebut bukan saja tidak membantu menambah-baik keadaan, malah mendedahkan pihak ATM kepada pelbagai spekulasi dan prejudis yg tidak sepatutnya,” kata Khaled semasa ucapan penggulungan Rang Undang-undang Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Menteri itu tidak menyebut sebarang nama tetapi dipercayai sasarannya adalah Shahidan Kassim (PN-Arau), yang awal hari ini mengkritik kerajaan berhubung tindak balasnya terhadap pencerobohan China di Beting Patinggi Ali di pesisiran Sarawak.
Antara lain, Shahidan membidas kenyataan Khaled sebelum ini yang mengatakan bahawa keadaan di Laut China Selatan masih terkawal, dan Timbalan Menteri Luar Mohamad Alamin kerana memberikan jawapan "diplomatik" apabila diasak dalam isu yang sama di Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut, Khaled mengingatkan bahawa ini adalah soal tuntutan bertindih, dan bukan soal negara kita diserang.
“Jadi dalam hal ini, saya menyuatakan bahawa kita akan sentiasa memastikan wujud show of presence (kehadiran) secara konsisten kita. Kementerian Pertahanan dan ATM memberi jaminan akan memastikan kedaulaan negara kita terjaga dan tidak akan sama sekali berkompromi dengan anasir luar yang mencabar kedaulatan negara,” katanya.
Khaled berkata diplomasi masih lagi kuat dan relevan, biarpun negara-negara jiran lain mempunyai pendekatan dan jalan mereka yang tersendiri.
“Adakah kita mengharapkan kerajaan melepaskan pendekatan diplomasi dan mengambil tindakan agresif yang melulu khususnya dalam berhadapan dengan kuasa besar seperti China?
“Saya percaya peperangan atau pertempuran bukan pilihan terbaik yang kita mahukan.
“Malaysia tidak boleh bertindak secara emosi. Kita perlu sentiasa strategik, realistik, cermat, teliti dan tidak sesekali membiarkan kedaulatan negara tergugat,” katanya lagi.