Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS ucap 'tahniah' atas kejayaan Farhash
Diterbitkan:  Nov 7, 2024 5:22 PM
Dikemaskini: 9:22 AM

PAS hari ini menunjukkan 'rasa kagum' atas pencapaian bekas setiausaha politik Anwar Ibrahim kerana menerima pengiktirafan sebagai usahawan muda yang berjaya.

Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata kejayaan itu pula dilakar dalam waktu yang singkat.

Kenyataan menyindir itu ditujukan kepada ahli perniagaan, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, yang dilaporkan media menerima anugerah 100 Usahawan Muda Paling Berpengaruh (100 MIYE).

"Tahniah anak muda!

"Antara kejayaan kerajaan hari ini (ialah) melahirkan usahawan berjaya dengan masa singkat," tulis Ahmad Fadhli dalam satu hantaran ringkas di Facebook.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut memuat naik laporan dari portal berita yang melaporkan mengenai pengiktirafan diperoleh Farhash baru-baru ini.

Farhash merupakan bekas orang dalam lingkungan dekat dengan Anwar sebelum dia menyertai bidang perniagaan.

Dia juga pernah mencetuskan kontroversi apabila memiliki saham syarikat HeiTech Padu Bhd (HeiTech Padu) yang kemudian memperoleh kontrak untuk projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) bernilai RM892.2 juta.

Bagaimanapun Farhash menegaskan pegangan sahamnya dalam HeiTech Padu dibuat melalui syarikat Rosetta Partners Sdn Bhd yang dimiliki bersama Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Untuk anugerah yang diterima pada 2 Nov lalu, Farhash diangkat menerusi kategori Usahawan Ikonik Tahunan kerana kemampuannya diiktiraf buat kali kedua sepanjang sembilan tahun penganjuran 100 MIYE.

Anugerah itu disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof, pada majlis yang berlangsung di ibu negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS