Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah dah kata titah adendum Najib hanya khabar angin - Saifuddin

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail hari ini menegaskan kepada Dewan Rakyat bahawa adendum diraja yang dikatakan memerintahkan penahanan rumah bekas perdana menteri Najib Abdul Razak hanyalah khabar angin (hearsay).

Dalam jawapannya kepada pertanyaan beberapa Ahli Parlimen mengenai perkara itu, Saifuddin merujuk mereka kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Julai yang menolak tindakan undang-undang Najib untuk mengesahkan kewujudan adendum itu.

“Kota Bharu (Ahli Parlimen Takiyuddin Hassan) juga ikuti keputusan mahkamah, ketika peguam yang berkenaan bawa (ke mahkamah) dan mahkamah kemudian anggap bahawa adendum ini hearsay.

"Itu sudah jelas keputusan mahkamah. Kita tak patut timbulkan lagilah.

"KDN pun lagi jauh, kita tak anggotai pardon board (lembaga pengampunan). Tak ada langsung. Jadi wujud atau tidak (adendum yang dikatakan), mahkamah kata ketika perkara itu diangkat peguam berkenaan, mahkamah kata cerita ni, sipolan dengar sipolan dapat dari sipolan, itu maknanya hearsay.

"Jadi selesai kat situlah. Saya tak nak ulas lebihlah," katanya.

Saifuddin berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Rang Undang-undang Belanjawan 2025 apabila Ramkarpal Singh (Pakatan Harapan-Bukit Gelugor) dan Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) menuntut penjelasannya berhubung rancangan kerajaan menggubal undang-undang tahanan rumah.

Ini termasuk sama ada cadangan itu - yang menurut Putrajaya bertujuan untuk menangani kesesakan di kemudahan penjara di seluruh negara - akan terpakai kepada Najib yang kini dipenjarakan kerana rasuah.

Sehubungan itu, Saifuddin memberitahu Dewan Rakyat bahawa pada ketika ini, hasrat kerajaan hanya untuk menangani kesesakan penjara akibat kes reman.

Menurut menteri itu, kini terdapat kira-kira 28,000 individu yang ditahan di penjara di seluruh negara sementara menunggu perbicaraan jenayah mereka selesai.

Justeru, katanya, individu yang disabitkan kesalahan seperti Najib tidak akan terpakai di bawah rancangan itu kerana dia telah pun disabitkan kesalahan. (Kalau sudah disabitkan) tidak termasuk dalam kita punya (cadangan) ini.

"Termasuk kalau dia kena reman 10 tahun ni, tak layak dipertimbanglah (untuk tahanan rumah) kerana ia tunjukkan tahap seriusnya kesalahan dia itu," katanya.

Terdahulu, Saifuddin berkata rancangan itu adalah untuk memberi mahkamah kuasa budi bicara untuk memerintahkan tahanan reman di kediaman peribadi mereka sendiri.

Hanya mereka yang menghadapi perbicaraan bagi kes tertentu yang dianggap kurang serius layak, tambahnya.

Bagaimanapun, apa yang diberitahu menteri kepada Parlimen hari ini bercanggah dengan kenyataannya yang dibuat kepada media kira-kira tiga minggu lalu.

Menurut Bernama, Saifuddin memberitahu pemberita di Klang pada 20 Okt bahawa rang undang-undang itu akan mempertimbangkan pesalah kali pertama yang tidak melakukan jenayah besar, wanita hamil, warga emas dan orang kurang upaya.

"Seperti yang saya katakan, angka yang layak dipertimbang ialah 20,000 orang yang merupakan pesalah pertama.

"Ia juga disasarkan kepada pesalah yang melakukan kesalahan tidak serius, contohnya ibu tunggal dihimpit kemiskinan yang mencuri susu kerana ingin memberi anaknya makan dan dijatuhi hukuman penjara," katanya.

Sementara itu, dalam isu berasingan, Saifuddin mendedahkan lebih 180 kes membabitkan isu 3R (raja, agama dan kaum) telah direkodkan sejak Mac 2023.

“Sejak Bukit Aman menubuhkan pasukan petugasnya pada Mac 2023, mereka telah mendokumenkan 182 kes,” katanya.

"Daripada jumlah ini, 138 telah diselesaikan, manakala baki 44 lagi masih dalam siasatan," tambahnya

Saifuddin berkata majoriti kes melibatkan penghinaan yang ditujukan kepada raja, dan beberapa individu telah pun menghadapi pertuduhan.

Dia seterusnya menyebut bahawa mereka yang didakwa termasuk individu Melayu, India, dan Cina.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS