Kekalahan parti Demokrat dalam pilihan raya presiden AS 2024 seharusnya menjadi pengajaran kepada Pakatan Harapan (PH) agar tidak berpihak kepada ultra-Melayu, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim.
Dia berkata parti yang memerintah perlu realistik dan menumpukan perhatian kepada penubuhan Bangsa Malaysia yang bersatu dan bukannya cuba mengatasi PAS, Umno dan Bersatu dalam menjadi parti Melayu.
"PH perlu sedar dan realistik. Sekuat mana PH nak jadi lebih Melayu, ia akan gagal untuk mengatasi PAS, Umno dan Bersatu yang semulajadi adalah parti Melayu.
"PH kena tumpu semua kaum, Melayu dan bukan Melayu, Bumiputera dan bukan Bumiputera bukan sahaja di Semenanjung tetapi di Sabah dan Sarawak.
"PH mesti jadi gabungan parti yang inklusif bukan eksklusif.Ini kelebihan PH yang merangkum kesemua rakyat Muslim atau bukan Muslim; Melayu atau bukan Melayu; Bumiputera atau bukan Bumiputera di seluruh negara, Semenanjung, Sabah dan Sarawak," katanya.
Menurut Hassan, yang merupakan ahli parlimen PKR, PH harus berusaha membina komuniti demokrasi yang bersatu padu daripada cuba menjadi pro-Melayu, yang katanya adalah sesuatu yang mereka pasti akan gagal.
Hassan menambah bahawa gabungan itu boleh meraih sokongan dengan memberi tumpuan kepada agenda ekonomi untuk negara dan kos sara hidup.
Katanya, ia harus, pada masa yang sama, bekerja keras ke arah memastikan tadbir urus yang baik, memerangi rasuah, dan menangani isu-isu yang dihadapi rakyat.
"PH jangan buang masa seperti Parti Demokratik di Amerika Syarikat yang gagal dalam usaha cuba memikat penyokong Parti Republican.
"PH di Malaysia sekarang perlu fokus memperkuatkan asas sokongannya dengan dasar-dasar dan pelaksanaan sistem ekonomi yang menjanjikan agihan yang adil, dengan pelaksanaan gaji yang wajar di landasan yang betul ke arah tercapainya cita-cita untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju dengan rakyatnya berpendapatan tinggi,” katanya. .
Dalam pilihan raya presiden AS semalam, calon Demokrat Kamala Harris tewas kepada Donald Trump, tokoh sayap kanan dari parti Republikan.