Berapakah nilai pampasan yang berpotensi diterima oleh Semantan Estate (1952) Sdn Bhd daripada kerajaan dalam pertikaian hak milik tanah yang terletak di Jalan Duta yang berlaku sebelum merdeka?
Mahkamah Rayuan hari ini mengarahkan pasukan peguam pihak Semantan dan kerajaan untuk menyediakan hujah mengenai pampasan berkenaan rayuan berhubung tanah 'Duta Enclave' seluas 107 hektar, yang merupakan salah satu kes pertikaian tanah awam yang paling lama di negara ini.
Sebelum ini dilaporkan kedua-dua pihak sedang berunding untuk mencapai penyelesaian luar mahkamah bagi pertikaian yang berlanjutan sejak pengambilan tanah oleh kerajaan daripada Semantan pada tahun 1956.
Namun, kedua-dua pihak buntu dalam menentukan jumlah pampasan yang perlu dibayar oleh kerajaan kepada Semantan sekiranya kerajaan terus menduduki tanah di sekitar Jalan Tuanku Abdul Halim, yang dahulunya dikenali sebagai Jalan Duta.
Tanah di Jalan Duta yang dimaksudkan merangkumi sebahagian Masjid Wilayah Persekutuan, Kompleks Kerajaan Jalan Duta, Stadium Hoki Jalan Duta, dan Institut Integriti Malaysia.
Dalam prosiding terbuka di Mahkamah Rayuan hari ini, panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Lee Swee Seng mengarahkan kedua-dua pihak untuk menyediakan hujahan mengenai tiga isu utama.
Salah satu isu sama ada pampasan harus dikira dari tarikh pesuruhjaya tanah mengambil tanah itu pada tahun 1956 atau dari tarikh semasa.
Isu lain mengenai kuasa mahkamah rayuan untuk mengembalikan perkara ini kepada Mahkamah Tinggi bagi menilai jumlah pampasan.
Berapa jumlah pampasan wajar
Dalam prosiding itu, peguam kanan kerajaan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi berkata kedua-dua pihak masih dalam rundingan sambil meneruskan tindakan mahkamah.
Peguam Semantan, Cyrus Das, turut mengesahkan rundingan yang sedang berlangsung antara kedua-dua pihak.
Semasa prosiding mahkmah, wakil Semantan memberitahu Das bahawa kerajaan mencadangkan pampasan RM5 bilion untuk tanah tersebut, tetapi kadar pasaran sebenar sekitar RM12 bilion.
Keterangan ringkas ini menunjukkan isu utama dalam pertikaian tersebut berkenaan jumlah pampasan yang wajar.
Hari ini dijadualkan untuk pendengaran rayuan kerajaan untuk mengekalkan pemilikan kawasan tanah yang dipertikai di Jalan Duta.
Pendengaran akan disambung semula pada 20 Februari tahun depan untuk hujahan lanjut mengenai isu-isu yang dinyatakan oleh panel rayuan, yang turut dianggotai oleh Hakim Azimah Omar dan Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Satu lagi isu yang akan dibahaskan pada tahun depan mengenai kedudukan Seksyen 29(1)(b) Akta Prosiding Kerajaan 1956 dan Seksyen 8 Akta Relief Khusus 1950 sekiranya ia tidak berlandaskan perlembagaan dan melanggar hak asasi terhadap harta.
Seksyen 29(1)(b) menyatakan dalam sebarang prosiding terhadap kerajaan untuk pemulihan tanah, mahkamah tidak boleh membuat perintah untuk pemulihan tanah, tetapi boleh membuat perintah yang menyatakan plaintif berhak ke atas tanah tersebut.
Seksyen 8(3) pula menyatakan tiada tuntutan boleh dibawa terhadap kerajaan di Malaysia dalam situasi di mana seseorang telah diusir tanpa persetujuan mereka dari harta tak alih.
Rayuan kerajaan kini mensasarkan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dikeluarkan pada 7 Ogos untuk pengosongan tanah tersebut. Namun, terdapat penangguhan pelaksanaan sehingga rayuan selesai.
Keputusan Mahkamah Tinggi tersebut berikutan usaha Semantan menguatkuasakan keputusan mahkamah tahun 2009 yang mengisytiharkan mereka mempunyai kepentingan benefisial terhadap tanah tersebut.
Semantan ditubuhkan oleh Eng Lian Group dan Ng Chin Siu & Sons Rubber Estates - wakil dua keluarga pemilik tanah yang terkenal.
Eng Lian Group dikenali sebagai pemaju Bangsar, Kuala Lumpur pada tahun 1970-an dan juga membangunkan pusat beli-belah Bangsar Village. Ng Chin Siu & Sons pula terkenal dalam pembangunan Desa Hartamas dan Mont Kiara, Kuala Lumpur.
Kerajaan memperoleh tanah tersebut pada tahun 1956 dengan nilai RM1.32 juta di bawah Enakmen Pengambilan Tanah ketika itu untuk membangunkan kawasan diplomatik, tetapi pada tahun 2009, Mahkamah Tinggi memutuskan kerajaan telah menceroboh tanah berkenaan.