PARLIMEN | Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menggesa Jabatan Perdana Menteri (JPM) menilai apakah Majlis Profesor Negara (MPN) perlu ada sebagai entiti penting memacu kepakaran akademik bagi menyokong pembangunan negara.
Saranan itu hadir susulan prosiding PAC mengenal pasti beberapa kebimbangan, termasuk ketidakupayaan untuk menentukan keberkesanan dan fungsi MPN.
Pengerusi PAC, Mas Ermieyati Samsudin, berkata semakan dijalankan badan itu mendapati tiada indeks prestasi utama (KPI) yang ditentukan dan ia tidak dilaporkan kepada JPM.
Mengenai dana pula, katanya, PAC mendapati ia tidak disalurkan ke bahagian yang berkaitan.
“Ini menyebabkan aktiviti MPN tidak dijalankan selaras dengan objektif penubuhannya pada 2014,” kata pada sidang media di parlimen hari ini.
Turut hadir ahli lain PAC termasuk timbalan pengerusinya, Teresa Kok (Seputeh), Dr Halimah Ali (Kapar) dan Zahir Hassan (Wangsa Maju).
Pada Julai, Menteri di JPM (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, mengumumkan kerajaan akan menilai semula status MPN berikutan Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan badan itu membelanjakan lebih RM373,000 untuk membiayai dua syarikat yang dimiliki ahli lembaga pemegang amanahnya.
Dua ahli terbabit pula tidak mengisytiharkan kepentingan mereka dalam syarikat terbabit.
Sebelum itu keberadaan MPN menjadi perhatian ekoran laporan tersebut menunjukkan ia menyalahgunakan pembiayaan kewangannya.
Selain isu konflik kepentingan, MPN juga dibayangai isu elaun RM207,000 kepada pengerusi tetap dan timbalan pengerusi yang diberikan tanpa kelulusan menteri.
MPN merupakan suatu entiti di bawah JPM yang melaporkan kegiatan mereka kepada Menteri Pengajian Tinggi.
Susulan laporan tersebut Presiden MPN, Raduan Che Rose, didakwa atas pertuduhan pecah amanah dan bersuhabat di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 28 Ogos lalu.
Lantik setiausaha syarikat yang cekap
Menurut Mas Ermieyati lagi JPM tidak memantau sepenuhnya MPN sejak 8 Nov 2021 lagi sehingga menyebabkan beberapa penyelewengan berlaku dalam pengurusannya.
"Tiada laporan mengenai aktiviti MPN pernah dikemukakan kepada JPM menyebabkan kekurangan kawalan dan pengawasan penuh ke atas badan itu," tambahnya.
Ahli Parlimen Masjid Tanah itu seterusnya menegaskan, elaun yang dibayar kepada lembaga pemegang amanah pada 2022 dan 2023 berjumlah RM207,000.
Katanya, wang itu adalah sebahagian daripada geran kerajaan kepada MPN bernilai RM7.78 juta dan dibuat tanpa kelulusan menteri.
"Setiausaha syarikat pula dilihat tidak memainkan peranan dengan berkesan, terutamanya memberikan nasihat yang tepat kepada lembaga pemegang amanah mengenai kepatuhan terhadap Artikel Penubuhan MPN (2019) serta menasihati mereka dalam sebarang keputusan," katanya.
Sebagai kesimpulan prosiding tersebut, Mas Ermieyati berkata, PAC membuat enam cadangan termasuk menilai sama ada kewujudan MPN masih relevan atau sebaliknya.
“Jika kerajaan memutuskan untuk mengekalkan MPN sebagai syarikat berhad dengan jaminan (CLBG), ia harus diletakkan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi berdasarkan fungsi dan peranannya.
“Berikutan saranan ini, JPM juga perlu mengemas kini PAC mengenai keputusan kerajaan berhubung status MPN, sama ada ia kekal sebagai agensi CLBG di bawah kerajaan atau sebaliknya semasa prosiding tindakan susulan,” tambahnya.
Mas Ermieyati juga menekankan bahawa MPN mesti melantik setiausaha syarikat yang cekap bagi memastikan tadbir urus yang betul, terutamanya dalam pematuhan semua undang-undang dan peraturan syarikat yang berkaitan.