Kementerian Pertahanan mengambil beberapa langkah dan peraturan dalam usaha membendung berulangnya insiden buli dalam kalangan pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata antara penambahbaikan yang dilakukan ialah meningkatkan kawalan keselamatan dengan menambah jumlah warden agar lebih banyak tumpuan dapat diberikan kepada pelajar.
“Kita tidak menerima kes buli berlaku dalam institusi pengajian tinggi dan kita tahu bahawa ia (buli) boleh berlaku antara pelajar dengan pelajar, atau antara pelajar dengan pihak lain.
"Kalau kita lihat dalam kes-kes sebelum ini, ia berlaku antara pelajar dengan pelajar.
“Jadi, di peringkat Kementerian Pertahanan, kerajaan telah bincangkan dari awal lagi dalam kes sebelumnya bahawa, kita perlu tingkatkan hubungan antara warden dan pelajar dengan menambah bilangan warden,” katanya.
Adly menjelaskan hal itu pemberita selepas menyempurnakan Pertandingan e-Sukan Sekolah Dalam Kem (SDK) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Sekolah Menengah Kem Terendak, Melaka, hari ini.
Menurut Adly Kementerian Pertahanan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang insiden buli yang berlaku di UPNM dan tindakan sewajarnya akan diambil mengikut peraturan yang ditetapkan.
Beliau berkata sekiranya terdapat laporan polis dibuat, ruang kerjasama akan diberikan sepenuhnya bagi membantu siasatan berdasarkan undang-undang.
ATM dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan mereka menyiasat kes seorang pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan UPNM yang dibuli senior menggunakan seterika yang ditekap pada bahagian dada.
Difahamkan, perbuatan itu terbongkar selepas pemeriksaan berkala dijalankan jurulatih bertugas ketika itu, selepas menyedari kesan kecederaan pada tubuh mangsa.
Pertandingan e-Sukan SDK ATM diadakan untuk memperkasakan pendidikan sukan elektronik bagi anak-anak warga kerja pertahanan, serta memupuk bakat dan minat dalam bidang berkenaan yang semakin berkembang pesat.
Program itu juga bertujuan memberikan pendedahan kepada ekosistem baru melalui pameran industri dengan bantuan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan, Esports Integrated dan Games Bond International Sdn Bhd, serta berkeupayaan menampilkan atlet e-Sukan di peringkat kebangsaan.
Pertandingan berlangsung selama dua hari bermula semalam itu melibatkan 32 kumpulan dengan jumlah penyertaan sebanyak 128 pelajar tingkatan satu hingga empat.
- Bernama