Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'PH tidak akan terima jawapan MCMC jika ia pembangkang'
Diterbitkan:  Nov 7, 2024 12:44 PM
Dikemaskini: 4:44 AM

Bekas ahli parlimen Bangi, Ong Kian Ming mengecam penjelasan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tentang alasan U Mobile dipilih sebagai pengendali rangkaian 5G kedua negara.

Ini selepas MCMC menerbitkan Soalan Lazim, yang tidak menjawab soalan mengapa tawaran U Mobile lebih baik berbanding daripada pesaingnya.

"Sekiranya Pakatan Harapan (PH) masih dalam pembangkang, kemungkinan besar penjelasan seperti ini tidak akan diterima dengan baik oleh ahli Parlimen Harapan," katanya dalam catatan di X hari ini, tanpa mengulas lanjut.

Dalam FAQ dan kenyataan yang dikeluarkan petang semalam, MCMC berkata bahawa U Mobile dipilih berdasarkan beberapa faktor seperti rancangan perniagaan dan teknikalnya, rekod kadar aduan dan kepuasan pelanggan, serta prestasi mereka dalam melaksanakan inisiatif infrastruktur lain.

Ia juga termasuk sumbangan memberangsangkan kepada projek Penyediaan Perkhidmatan Sejagat (USP) seperti Jendela Fasa 1 dan Projek Penaiktarafan 4G, yang selaras dengan komitmen MCMC untuk meningkatkan pengalaman pengguna dan kecemerlangan perkhidmatan.

Walau bagaimanapun, ia tidak menyatakan bagaimana prestasi terdahulu U Mobile atau rancangan rangkaian 5G syarikat itu adalah lebih baik daripada yang dicadangkan oleh pesaing.

Maxis - salah satu syarikat yang membida perjanjian itu - berkata ia akan mendapatkan penjelasan daripada SKMM mengenai perkara itu.

Soalan lain yang turut dibangkitkan jika pemegang saham U Mobile menjadi faktor dalam keputusan itu.

Pemegang saham terbesar syarikat itu ialah Straits Mobile Investments Pte Ltd berkaitan Temasek Singapura dengan pegangan 48.3 peratus.

Pemegang saham kedua terbesar syarikat itu ialah Sultan Ibrahim - Yang di-Pertuan Agong semasa - yang mempunyai 22.3 peratus kepentingan dalam syarikat tersebut.

U Mobile berkata ia akan melepaskan pemilikan asingnya dan menurunkannya kepada 20 peratus.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS