Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Seorang pengusaha restoran memohon ganti rugi fitnah sebanyak RM1 juta daripada Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin.

Tuntutan saman fitnah yang dibuat oleh Ahmad Muzaini Mydin berikutan tuduhan dia suspek dalam kes pembakaran kereta milik Asri pada 22 Mac 2019.

Menurut tuntutan saman fitnah yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kangar pada 7 Jun tahun ini, Muzaini mendakwa Asri memuat naik hantaran fitnah di laman Facebook DrMaza.com pada 22 Mei 2019.

Mengikut undang-undang Malaysia, tuntutan fitnah boleh difailkan dalam tempoh enam tahun dari tarikh tindakan yang didakwa berlaku.

Pengusaha berusia 38 tahun itu mendakwa hantaran media sosial berkenaan memaparkan gambarnya berserta tulisan mengenai penahanan dua suspek oleh polis berhubung insiden pembakaran tersebut.

Pemilik rangkaian restoran di Kangar itu menolak tuduhan berkenaan, mendakwa defendan memuat naik hantaran itu dengan niat jahat.

Untuk rekod pada Julai 2019, seorang suspek (bukan Muzaini) didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar atas kesalahan membakar kereta Asri.

Muzaini turut mendakwa Asri gagal mematuhi surat tuntutan yang dikeluarkannya awal tahun ini untuk memohon maaf dan membayar ganti rugi berhubung hantaran Facebook tersebut.

Permohonan maaf, perintah mahkamah

Selain menuntut RM1 juta sebagai ganti rugi am, plaintif turut memohon perintah mahkamah untuk memaksa defendan menerbitkan permohonan maaf di akhbar dan media sosial.

Muzaini juga memohon perintah injuksi untuk menghalang Asri daripada mengulangi kenyataan fitnah yang didakwa itu.

Dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 26 Ogos tahun ini, Asri menafikan dia memfitnah Muzaini kerana dia bukan pemilik atau pengendali laman Facebook DrMaza.com.

Asri, yang berusia 53 tahun, berhujah bahawa dia tidak tahu mengenai hantaran fitnah yang didakwa di laman DrMaza.com.

Asri juga menggunakan beberapa pembelaan lain, seperti justifikasi (bersedia untuk membuktikan kenyataan di mahkamah), komen adil, penyiaran untuk kepentingan awam dan keitimewaan yang layak.

Firma guaman Ku Nur Farahi & Co mewakili Muzaini manakala firma guaman Faizal Rahman mewakili Asri.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS