Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
U Mobile dipilih penyedia 5G kerana beberapa faktor - MCMC

Pemilihan U Mobile Sdn Bhd sebagai penyedia 5G rangkaian kedua negara dibuat berdasarkan gabungan beberapa faktor, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Faktor-faktor tersebut adalah seperti rancangan perniagaan dan teknikal yang dikemukakan, rekod kadar aduan dan kepuasan pelanggan serta prestasi syarikat dalam melaksanakan inisiatif infrastruktur lain, kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, faktor lain yang turut diambil kira adalah sumbangan syarikat tersebut kepada projek Penyediaan Perkhidmatan Sejagat (USP) seperti Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 dan Projek Penaiktarafan 4G yang selaras dengan komitmen MCMC untuk meningkatkan pengalaman pengguna dan kecemerlangan perkhidmatan.

“Melalui pemilihan itu, tanggungjawab pengawalseliaan terhadap U Mobile boleh dikuatkuasakan mengikut pematuhan yang telah ditetapkan dan sekiranya terdapat ketidakpatuhan maka penalti akan dikenakan,” katanya.

Pada 1 November lepas, MCMC menerusi satu kenyataan mengumumkan pemilihan berkenaan yang bertujuan untuk memastikan manfaat penuh teknologi 5G sampai kepada orang ramai, industri serta negara.

Menurut suruhanjaya itu, sebagai penyedia rangkaian 5G kedua U Mobile dibenarkan untuk bekerjasama dengan rakan ekosistem lain, namun tertakluk kepada kelulusan MCMC.

“MCMC akan sentiasa menilai kerjasama tersebut untuk memastikan manfaatnya dapat dinikmati semua rakyat Malaysia,” katanya.

Mengenai pegangan saham asing semasa yang dimiliki U Mobile, MCMC berkata menjadi tanggungjawab pemegang lesen untuk memaklumkan kepada suruhanjaya berkenaan sekiranya terdapat sebarang perubahan pegangan saham asing syarikat.

Suruhanjaya itu berkata dengan penubuhan rangkaian 5G kedua tersebut, MCMC membuka jalan bagi fleksibiliti dan keterangkuman perkhidmatan yang lebih menyeluruh pada masa hadapan.

“Perkembangan ini menggalakkan persaingan dan mengukuhkan ketahanan industri serta membolehkan rakyat Malaysia menikmati sambungan berkelajuan tinggi pada harga berpatutan,” katanya.

MCMC berkata bagi memastikan landskap telekomunikasi negara yang kukuh dan boleh dipercayai pada masa depan, suruhanjaya itu akan terus memantau standard kualiti dalam kalangan semua penyedia perkhidmatan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS