Jabatan Penjara menyokong penuh cadangan hukuman alternatif dengan mengwujudkan Akta Tahanan Rumah memandangkan jumlah kapasiti penjara sekarang melebihi kadar pertambahan tahanan sebanyak lebih 11 peratus.
Jabatan itu mendedahkan bahawa kemudahan penjara kini beroperasi pada tahap lebihan kapasiti 11.24 peratus dengan 87,419 banduan.
Ia juga menyatakan bahawa daripada 43 penjara di seluruh negara, 19 mengalami kapasiti melebihi 20 peratus terutamanya penjara di bandar-bandar besar.
Kadar pemenjaraan pada masa kini adalah 245 individu bagi setiap 100,000 penduduk, berbanding kadar purata pemenjaraan dunia 145 orang bagi setiap 100,000.
“Kadar yang tinggi ini tidak baik untuk imej negara daripada segi keselamatan dan kesejahteraan awam dari kacamata dunia,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan hari ini.
Semasa pembentangan Bajet 2025 Perdana Menteri Anwar Ibrahim bulan lalu, mengumumkan penggubalan undang-undang baharu untuk membenarkan tahanan rumah sebagai hukuman alternatif bagi kesalahan tertentu.
Bagaimanapun, aktivis telah menimbulkan kebimbangan bahawa ia mungkin digunakan untuk membebaskan bekas perdana menteri Najib Razak dari penjara.
Kerajaan menafikan perkara itu, dan menjelaskan bahawa kajian mengenai perundangan itu bermula tahun lalu, termasuk projek perintis yang melibatkan 5,000 banduan.
Najib kini sedang menjalani hukuman penjara kerana didapati bersalah menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Jabatan Penjara juga berkata bahawa Program Pemulihan Komuniti dan pilihan hukuman alternatif baharu itu membolehkan pengurangan kesesakan penjara, mengurangkan kadar pemenjaraan yang tinggi pada masa kini dan menjimatkan kos kepada kerajaan.
“Ia juga memberi peluang kedua kepada prospek untuk membuktikan bahawa mereka masih boleh berbakti kepada keluarga, masyarakat dan negara,” tambahnya.
Kementerian Dalam Negeri dijangka membentangkan butiran lanjut mengenai rang undang-undang tahanan rumah itu di Dewan Rakyat esok.