Pengasas syarikat Bestinet Sdn Bhd, Aminul Islam Abdul Nor yang menguruskan Sistem Pengurusan Pekerja Asing (FWCMS) menafikan terlibat dalam sebarang aktiviti pemerdagangan pekerja asing dan pengubahan wang haram.
Peguamnya N Sivananthan berkata laporan media yang mendakwa Aminul atau lebih dikenali sebagai Amin dan Bestinet melakukan kegiatan itu sebagai tidak berasas dan mengelirukan.
"Kami berhasrat untuk menjelaskan penglibatan Amin dengan Bestinet dan FWCMS, dan menafikan sepenuhnya sebarang dakwaan atau implikasi yang mengaitkan sama ada Amin atau Bestinet dengan pemerdagangan manusia atau pengubahan wang haram.
"Laporan artikel baru-baru ini bahawa Amin atau Bestinet mungkin terlibat amalan haram adalah tidak berasas sama sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, Amin dan Bestinet dengan tegas menolak dakwaan salah laku dan kekal komited untuk membekalkan pekerja asing secara telus dan bertanggungjawab.
Terdahulu, beberapa media melaporkan polis Bangladesh menggesa pihak Malaysia menahan Amin dan sekutunya, Ruhul Amin serta menghantar mereka pulang ke negara itu.
Ia berikutan kedua-duanya didakwa melakukan pengubahan wang haram, pemerasan dan pemerdagangan pekerja asing.
Bestinet mengendalikan FWCMS yang digunakan kerajaan Malaysia untuk memproses kemasukan ratusan ribu pekerja asing ke negara ini.
Amin yang berasal dari Bangladesh dan kini merupakan warga Malaysia tidak lagi menjadi pengerusi Bestinet namun masih memiliki pegangan saham minoriti dalam syarikat itu.
Ruhul pula ialah warga Bangladesh yang mengendalikan Catharsis International, syarikat yang turut terlibat dalam pengurusan pekerja asing.
Amin berkata FWCMS ialah sebuah platform digital berpusat yang diwujudkan untuk memudahkan pengambilan dan dokumentasi bagi pekerja asing, serta direka untuk memastikan pengambilan yang sah, telus dan selamat melalui saluran kerajaan.
Menurut Sivananthan, setiap aspek platform FWCMS beroperasi dengan mematuhi piawaian Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen, serta garis panduan antarabangsa.
Katanya, peranan Bestinet terhad kepada menyediakan pelaksanaan dan sokongan teknikal untuk FWCMS, manakala semua keputusan pengambilan tetap dibuat di bawah bidang kuasa pihak berkuasa di Malaysia dan Bangladesh.
"Setiap dokumentasi pekerja tertakluk kepada pengesahan yang ketat, termasuk pengesahan oleh Kedutaan Bangladesh di Malaysia, memastikan pematuhan di pelbagai peringkat.
"Dengan itu, Amin pada bila-bila masa, tidak terlibat dalam sebarang aktiviti di luar daripada skop perkhidmatan teknologi Bestinet yang dibenarkan," kata Sivananthan.