Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Tahanan rumah perlu kerana penjara sudah melimpah’
Diterbitkan:  Nov 6, 2024 4:10 PM
Dikemaskini: 8:16 AM

Jabatan Penjara menyokong penggubalan akta tahanan rumah kerana kapasiti penjara sudah sesak dan melimpah sehingga lebih 11 peratus.

Malah kadar pemenjaraan di Malaysia kini mencatat jumlah 245 orang bagi setiap 100,000 penduduk, berbanding purata pemenjaraan dunia yang hanya 145 orang bagi jumlah sama.

Jabatan Penjara juga mendedahkan fasiliti penjara mengalami kadar pertambahan prospek melebihi kapasiti sebenar, iaitu 87,419 orang (melebihi 11.24%) berbanding kapasiti keseluruhan 74,146 orang.

“Kadar yang tinggi ini tidak baik untuk imej negara dari segi keselamatan dan kesejahteraan awam dari kaca mata dunia,” katanya.

Dalam kenyataan hari ini, Jabatan Penjara juga berkata sebanyak 19 daripada 43 penjara mengalami kapasiti melebihi 20 peratus, terutamanya di bandar-bandar besar.

Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 mengumumkan akan menggubal akta baru bagi membolehkan hukuman tahanan rumah dilaksana sebagai alternatif untuk kesalahan tertentu.

Bagaimanapun terdapat kebimbangan dalam kalangan aktivis bahawa ia akan digunakan untuk mengeluarkan bekas perdana menteri Najib Razak daripada penjara. 

Najib Razak ketika hadir perbicaraan di mahkamah

Kerajaan menafikan perkara itu dan menjelaskan kajian berkaitan undang-undang itu dibuat sejak tahun lalu termasuk melaksanakan projek rintis membabitkan 5,000 banduan.

Najib sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Dalam kenyataan hari ini, jabatan itu juga berkata Program Pemulihan Dalam Komuniti atau hukuman alternatif baru membolehkan pengurangan kesesakan institusi penjara, mengurangkan kadar pemenjaraan dan menjimatkan kos kerajaan. 

“Ia juga memberi peluang kedua kepada prospek untuk membuktikan bahawa mereka masih boleh berbakti kepada keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dijangka memberi penjelasan lanjut mengenai rang undang-undang (RUU) baru tahanan rumah kepada Dewan Rakyat, esok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS