Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Exco T'ganu cadang santuari gajah atasi masalah gajah liar
Diterbitkan:  Nov 6, 2024 3:08 PM
Dikemaskini: 7:08 AM

Kerajaan Terengganu bercadang membina sebuah santuari gajah bagi mengatasi masalah gajah liar yang semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Datuk Razali Idris berkata santuari itu akan menempatkan gajah liar yang ditangkap di Terengganu, Kelantan dan Pahang.

"Serangan gajah berlaku kerana habitat asalnya semakin berkurang (keluasan), sekali gus menjejaskan sumber makanan mereka.

"Oleh itu, timbul cadangan daripada wakil tiga negeri untuk membina santuari bagi menempatkan gajah yang ditangkap di satu tempat yang selamat dan mempunyai sumber makanan mencukupi untuk mereka," katanya kepada pemberita pada Seminar Biodiversiti Terengganu 2024: Safeguarding Biodiversity For Sustainable Future di Kuala Terengganu hari ini.

Beliau berkata penubuhan santuari itu juga bagi menjaga keselamatan penduduk daripada serangan berterusan mamalia terbabit.

Razali berkata langkah pencegahan seperti pemasangan pagar elektrik tidak berjaya menyelesaikan sepenuhnya masalah serangan gajah liar di kawasan penempatan penduduk.

"Gajah yang ditangkap dan dilepaskan ke habitat asal biasanya akan kembali menyerang penempatan penduduk. Pemindahan gajah pula menelan belanja antara RM50,000 hingga RM70,000 seekor.

"Di Terengganu kita anggarkan masih ada kira-kira 300 gajah. Kita mahu lindungi populasi haiwan ini agar tidak berkurangan untuk kepentingan generasi masa hadapan," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS