PARLIMEN | Dua bekas menteri kewangan akan dipanggil memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam usaha badan itu melengkapkan prosiding berhubung komitmen pemulangan aset 1MDB.
Pengerusi PAC, Mas Ermieyati Samsudin berkata, proses tersebut dijangka diadakan pada minggu ketiga bulan ini dan melibatkan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Lim Guan Eng.
Tengku Zafrul menjawat tugas menteri kewangan antara 2021 hingga 2022, manakala Lim sejak PH mentadbir pada 2018 sehingga kerajaan itu dijatuhkan di luar pilihan raya pada Feb 2020.
Menurut Mas Ermieyati, turut akan dipanggil PAC ialah bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Asri Hamidon, dan firma guaman Rosli Dahalan Saravanan (RDS) Partnership.
"Ia untuk memberikan penjelasan berhubung usaha mendapatkan aset 1MDB semasa mereka berada dalam Jawatankuasa Khas 1MDB.
"Prosiding dijangka akan diadakan pada minggu ketiga Nov," katanya dalam sidang media di parlimen hari ini.
Terdahulu, Mas Ermieyati berkata PAC telah mengadakan prosiding mengenai komitmen pemulangan aset 1MDB dan jaminan pembiayaan hutang 1MDB kelmarin.
Katanya, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican, dan Ketua Pasukan Petugas 1MDB, Johari Abdul Ghani, telah memberi keterangan dalam prosiding berkenaan.
"Dalam prosiding yang mengambil masa selama dua jam itu, PAC telah mendengar mengenai usaha-usaha kerajaan mendapatkan aset 1MDB serta pembiayaan hutang 1MDB yang berjumlah RM9.456 bilion.
"PAC telah menggunakan punca kuasa Peraturan Mesyuarat (PM) 77 (1)(c),Arahan Perbendaharaan (AP) (Pindaan 2023) 301 dan 304 (a) serta Seksyen 5(3)(d) Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2024: Organisasi Kementerian-Kementerian bagi membincangkan kedua-dua isu tersebut," katanya.
Pada sidang media sama, Mas Ermieyati berkata, PAC mendengar keterangan daripada Johan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Abu Tariq Jamaluddin, berhubung pengurusan akaun belum terima agensi tersebut.
"Prosiding ini akan disambung semula pada minggu ketiga Nov ini," katanya.
Sementara itu, Mas Ermieyati berkata PAC juga membentangkan laporan Tindakan Susulan Menteri Kewangan (Diperbadankan), Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah bagi syor-syor laporan PAC Berhubung Felcra Bhd hari ini.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai boleh membaca tindakan yang diambil oleh MOF dan Felcra atas syor-syor laporan PAC yang dibentangkan pada 26 Jun lalu.
"Esok pula, PAC akan membentangkan laporan berhubung Majlis Profesor Negara di bawah Jabatan Perdana Menteri setebal 278 muka surat. Prosiding ini telah diadakan pada 1 Ogos lalu," katanya.