Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tipu zakat: Timbalan pengerusi masjid pula direman
Diterbitkan:  Nov 6, 2024 1:38 PM
Dikemaskini: 5:38 AM

Seorang lagi suspek direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Terengganu hari ini bagi membantu siasatan kes mengemukakan senarai nama penerima zakat tidak layak kepada sebuah badan kebajikan swasta pada April lalu.

Menurut sumber, perintah reman enam hari terhadap lelaki berusia 50-an itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Kemaman.

Sebelum itu SPRM mengemukakan permohonan untuk menahan reman ke atas timbalan pengerusi masjid terbabit dan ia diterima majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin.

Kata sumber, suspek itu ditahan kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam selepas dia hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM di Kemaman.

“Suspek ditahan atas kesalahan mengemukakan senarai nama asnaf berstatus miskin yang palsu kepada sebuah badan kebajikan syarikat swasta di Kerteh untuk melayakkan isterinya menerima zakat wakalah.

“Perintah reman dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah," katanya.

Menurut sumber itu lagi suspek ditahan di lokap Balai Polis Chukai bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Semalam, Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid dilaporkan tidak menolak kemungkinan pihaknya akan membuat beberapa tangkapan susulan bagi membantu siasatan ekoran penahanan pengerusi masjid yang sama atas kesalahan serupa.

Pengerusi masjid yang juga pekerja di syarikat swasta terbabit ditahan SPRM Isnin lalu kerana disyaki mengemukakan senarai asnaf yang termasuk individu tidak layak menerima agihan zakat.

Individu yang dimasukkan ke senarai berkenaan ialah isteri suspek.

Mereka menerima zakat sebanyak RM1,000.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS