Calon Presiden Republikan, Donald Trump mendakwa dirinya telah memenangi pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) 2024.
Ini selepas Fox News mengunjurkan bahawa dia telah mengalahkan calon Demokrat Kamala Harris.
"Amerika telah beri kami mandat yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan mandat yang amat berkuasa," katanya kepada penyokongnya di Pusat Konvensyen Palm Beach County, Florida.
Dia diapit oleh pasangan naib presidennya, Senator JD Vance, pemimpin Republikan serta ahli keluarganya.
Trump turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat atas "penghormatan dipilih" ke jawatan tertinggi AS.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Amerika atas penghormatan luar biasa dipilih sebagai presiden ke-47 dan presiden ke-45 anda," kata Trump kepada penyokong di Palm Beach, Florida, merujuk kepada penggal terdahulunya di pejabat, pada 2017-2021, sebelum Joe Biden memenangi empat tahun sebagai presiden AS ke-46.
"Ini adalah kemenangan hebat untuk rakyat Amerika yang akan membolehkan kita menjadikan Amerika hebat semula," tambah Trump.
Berikrar untuk memperjuangkan setiap rakyat, beliau berkata: "Kita akan membantu negara kita pulih."
Kemenangan itu akan menjadikan Trump satu-satunya presiden AS yang berkhidmat dalam penggal tidak berturutan, selepas Grover Cleveland yang berkhidmat dua penggal pada akhir 1800-an.
Berdasarkan unjuran semasa agensi berita CNN melaporkan, laluan calon Demokrat, Kamala Harris menuju ke Rumah Putih semakin sukar.
Unjurannya menunjukkan Trump mempunyai 266 undi elektoral dan Harris pula 188 undi elektoral.
“Trump hanya perlu memenangi empat lagi undi pemilihan pilihan raya untuk memenangi jawatan presiden,” lapor CNN.
Menurut AP pula, Trump sudah membolot 267 undi elektoral untuk menguasai Rumah Putih berbanding Harrris yang menang di 214 kerusi elektoral.
Jumlah undi yang diperolehi oleh bekas presiden AS itu adalah 68,075,828 atau kira-kira 51.2 peratus berbanding Harris yang mendapat 62,987,829 undi.
Menurut media di AS, Trump juga berjaya menguasai tiga daripada tujuh negeri 'medan tempur' yang dijangka menjadi penentu keputusan pilihan raya kali ini, iaitu Carolina Utara, Georgia dan Pennsylvania.
Keputusan tidak rasmi juga menunjukkan dia sedang mendahului di empat negeri lain itu. Majoriti diperlukan untuk memenangi jawatan Presiden AS ialah 270 undi elektoral.
Harris pula mencatat kejayaan antaranya di negeri Colorado, Delaware, Illinois, Maryland, Massachusetts, New York, Rhode Island dan Vermont serta ibu negara AS, Washington DC.
Empat lagi negeri 'atas pagar' yang sedang dalam proses pengiraan undi ialah Michigan yang mempunyai 15 undi elektoral, M Arizona (11), Wisconsin (10) dan Nevada (enam).
Sementara itu, AFP melaporkan parti Republikan turut menguasai Senat, termasuk merampas dua kerusi, sekali gus menidakkan majoriti tipis Demokrat sebelum ini.
Jurucakap Trump, Jason Miller, berkata 'mood' kem parti itu adalah positif, manakala pasukan kempen Harris pula memaklumkan bahawa naib presiden AS itu dijangka tidak tampil untuk berucap di hadapan penyokongnya pada majlis yang dijadualkan lebih awal di Washington DC.