Perdana Menteri China Li Qiang bertemu dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berada di Shanghai bagi menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China ketujuh.
Li menyatakan bahawa hubungan China-Malaysia telah memasuki tahap baru dalam pembangunan sejarah dan sedang bergerak mantap ke arah membina komuniti masa depan bersama antara China dan Malaysia, lapor Agensi Berita Xinhua.
Beliau berkata bahawa China bersedia bekerjasama dengan Malaysia untuk melaksanakan konsensus penting yang dicapai oleh pemimpin kedua-dua negara, menegakkan prinsip saling menghormati dan mempercayai, serta bekerjasama demi keputusan menang-menang, sambil bersama-sama mencapai pembangunan dan kemakmuran bersama.
Li menegaskan bahawa China komited untuk terus saling menyokong dalam isu-isu berkepentingan teras dan kebimbangan utama kedua-dua negara, memperkukuh penyelarasan strategi pembangunan, bertukar pengalaman dalam tadbir urus, serta memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang bagi memacu proses pemodenan kedua-dua negara melalui kerjasama strategik peringkat tinggi.
Beliau turut menyeru kedua-dua pihak untuk meneruskan kemajuan projek-projek perdana seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek "Dua Negara, Taman Berkembar" Malaysia-China, serta memanfaatkan potensi kerjasama dalam bidang baru yang sedang berkembang dan memperluas ruang baru untuk kerjasama.
China juga akan terus menggalakkan pertukaran budaya dan pembelajaran bersama dengan Malaysia, memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan dan kemudahan visa, serta menggalakkan rakyat kedua-dua negara, khususnya golongan muda untuk saling mengunjungi bagi meningkatkan pemahaman dan persahabatan, katanya.
Li berkata China akan menyokong penuh Malaysia dalam mengambil alih jawatan presiden Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) tahun hadapan, dan bersedia untuk memperkukuh penyelarasan serta kerjasama dengan Malaysia dalam rangka kerja pelbagai hala seperti China-ASEAN bagi memajukan integrasi ekonomi serantau, mempertahankan kepentingan ASEAN sebagai pusat, dan memastikan pembangunan aman di Asia.
Xinhua turut melaporkan bahawa Anwar menyatakan China adalah rakan baik dan rakan kongsi strategik Malaysia. Malaysia bersedia memperkukuh kerjasama Inisiatif Jalur dan Laluan dengan China, memajukan kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, ekonomi digital, dan pendidikan, serta meningkatkan pertukaran antara rakyat kedua-dua negara.
Malaysia juga menyokong usaha China untuk menyertai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), kata Anwar.
Sebagai presiden ASEAN tahun hadapan, Malaysia akan mengambil peluang ini untuk memperkukuh penyelarasan dengan China mengenai isu-isu antarabangsa dan serantau, kata Perdana Menteri itu.
- Bernama-Xinhua