Polis Bangladesh menggesa pihak Malaysia untuk menahan pengasas Bestinet Aminul Islam Abdul Nor dan sekutunya, Ruhul Amin dan menghantar mereka pulang ke negara itu.
Ia berikutan kedua-duanya didakwa melakukan pengubahan wang haram, pemerasan dan pemerdagangan pekerja asing.
Aminul merupakan pengasas dan pengerusi Bestinet, syarikat yang mengendalikan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) yang digunakan kerajaan Malaysia untuk memproses kemasukan ratusan ribu pekerja asing ke negara ini.
Aminul berasal dari Bangladesh dan kini merupakan warga Malaysia. Dia tidak lagi menjadi pengerusi Bestinet namun masih memiliki pegangan dalam syarikat itu.
Ruhul pula warga Bangladesh yang mengendalikan Catharsis International, syarikat yang turut terlibat dalam pengurusan pekerja asing.
Aminul dan Ruhul didakwa memainkan peranan penting dalam sistem yang disifatkan “memeras wang secara menipu ke atas mangsa” dan mendedahkan mereka kepada risiko “seksaan fizikal dan mental”, menurut sepucuk surat bertarikh 24 Oktober lalu oleh Interpol Bangladesh kepada cabang Interpol di Malaysia, yang dilihat Bloomberg.
Pegawai polis Bangladesh Ashiqur Rahman, yang terlibat dalam Interpol negara itu, mengesahkan ketulenan surat tersebut, menurut Bloomberg.
Ashiqur berkata pihak berkuasa Malaysia telah membalas surat itu dan meminta polis Bangladesh membuat permohonan ekstradisi secara rasmi.
Dia berkata dokumen-dokumen tersebut sedang dalam proses penghantaran.
Menurut Bloomberg, permohonan itu sebahagian daripada siasatan yang lebih meluas ke atas orang tengah dan penggubal undang-undang yang terlibat dalam penghantaran pekerja dari Bangladesh ke Malaysia.
Pada September lalu, Aminul dan Ruhul dituduh melakukan pengubahan wang haram dalam satu pendedahan oleh laman berita Bangladesh, Prothom Alo.
Pada masa itu, Bestinet ketika dihubungi Malaysiakini menafikan dakwaan itu, sementara Ruhul memberitahu Prothom Alo yang dia tidak melakukan sebarang perkara yang melanggar undang-undang.
Aminul pula tidak memberi maklum balas ketika dihubungi Malaysiakini berhubung dakwaan tersebut.
SPRM juga membersihkan Bestinet daripada dakwaan tersebut.
Pada 17 Oktober lalu, Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah meletakkan jawatan sebagai pengarah Bestinet, selepas 16 bulan dilantik.
Amaran oleh PAC
Bestinet menjadi perhatian selepas ia didapati mengendalikan sistem yang amat menguntungkan, walaupun selepas tamat kontrak dengan kerajaan.
Untuk masuk ke Malaysia, pekerja asing perlu melalui sistem FWCMS dan Bestinet akan mengutip yuran pemprosesan sebanyak RM100 daripada setiap pekerja.
Menurut akaun tahun 2022 yang dibentangkan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Bestinet meraih perolehan sebanyak RM128 juta dan untung RM85 juta daripada hasil sebanyak RM138.92 juta bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2022.
Namun, pada Julai lalu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendapati walaupun meraih keuntungan tinggi daripada FWCMS, syarikat itu tidak menandatangani kontrak dengan kerajaan.
Namun ada surat setuju terima (SST) untuk membangunkan sistem FWCMS pada 12 Januari 2018.
“Ini bermakna kerajaan atau KDN menggunakan sistem FWCMS selama lebih kurang enam tahun tanpa kontrak yang dimuktamadkan dan ini jelas melanggar peraturan yang ditetapkan kerajaan,” kata PAC dalam kenyataan.
Pada Jun lalu, Kabinet setuju untuk melanjutkan kontrak Bestinet selama tiga tahun lagi namun dengan syarat yang lebih ketat.