PARLIMEN | Zulkifli Ismail (PN-Jasin) hari ini membangkitkan penggunaan istilah 'maha kaya' oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025, yang menurutnya tidak bersandarkan kefahaman Islam.
Zulkifli yang juga timbalan ketua Dewan Ulama PAS Pusat itu berkata, ini kerana istilah itu hanya boleh digunakan untuk Allah.
"Adalah jelas penggunaan konsep tersebut tidak diambil dari kefahaman Islam kerana yang maha kaya dalam ajaran Islam hanyalah Allah S.W.T. tuhan sekalian alam.
"Hanya Allah sajalah sebagai pencipta alam ini yang boleh digunakan ungkapan sebagai maha kaya, ia tidak berhak dinisbahkan kepada selain daripada Allah," katanya ketika perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lalu, Anwar menggunakan istilah “maha kaya” sebagai merujuk kepada warga yang mempunyai pendapatan tinggi dan termasuk dalam kategori yang tidak layak menerima subsidi.
Sementara itu, Zulkifli memetik surah al-Fatir ayat 15 yang bermaksud:
“(Oleh kerana Allah menguasai segala-galanya, maka) wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah, Dialah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji”.
"Menurut Tafsir Ibnu Katsir, bahawa hanya Allah sahajalah yang bersendiri di dalam kekayaan tanpa sebarang sekutu. Dialah yang terpuji pada setiap perbuatan-Nya, perkataan-Nya, ketetapan-Nya dan hukum-Nya,” kata Zulkifli yang juga pesuruhjaya PAS Melaka.
"Saya berharap ungkapan maha kaya yang ditujukan kepada golongan tertentu dalam sebuah masyarakat berasaskan tradisi barat tidak lagi digunakan selepas ini," katanya lagi.