Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Gantung operasi bas kerana kes renjatan elektrik tindakan melampau'
Diterbitkan:  Nov 5, 2024 8:29 PM
Dikemaskini: 12:29 PM

Tindakan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk segera menggantung operasi bas yang terbabit dalam insiden renjatan elektrik sehingga mengorbankan nyawa seorang remaja disifatkan keterlaluan.

Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong, berkata Loke mengambil tindakan yang tergesa-gesa dan telah menyalahgunakan kuasa yang ada padanya sebelum memahami punca sebenar kejadian.

"Tanggungjawab syarikat bas adalah untuk memastikan penumpang yang dibawa sampai ke destinasi dengan selamat, termasuk keselamatan kenderaan dan sebagainya.

"Namun, soket yang dikatakan punca kemalangan tersebut berasal daripada pengilang bas dan bukannya daripada pemanduan yang merbahaya.

"Seharusnya Kementerian Pengangkutan (MOT) turut menyiasat pengilang bas dan pembekal berkaitan, termasuk alat pengecas yang digunakan oleh mangsa bagi mengenalpasti punca sebenar sebelum mengenakan sesuatu tindakan.

"Selain itu, sebagai menteri, Loke juga seharusnya faham bahawa sebuah syarikat bas memiliki pelbagai jenis bas termasuk jenama, peralatan, kelengkapan dan komponen yang berbeza, mencecah ratusan jenis. Adakah logik dan adil untuk menyekat operasi kesemua bas daripada jenama berbeza milik syarikat tersebut hanya kerana salah sebuah bas terlibat dalam kemalangan?" katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kelmarin, Loke mengarahkan APAD menggantung operasi bas yang terbabit serta-merta bagi membolehkan siasatan lanjut oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menurut Loke, sebuah pasukan petugas khas yang terdiri daripada JPJ, APAD, dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) akan diaktifkan untuk menyiasat punca insiden tersebut.

“Ini adalah untuk memastikan insiden seperti ini tidak berulang dan keselamatan penumpang sentiasa terjamin,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu Chong berkata, insiden melibatkan soket di dalam bas merupakan tragedi yang sangat jarang berlaku dan ia tidak boleh disamakan dengan kemalangan trafik yang biasa.

Sebaliknya, ia perlu melalui siasatan menyeluruh untuk mengenal pasti punca sebenar sebelum menteri membuat perubahan dalam dasar dan undang-undang berkaitan.

“Justeru, keputusan menteri pengangkutan untuk menggantung operasi syarikat bas tersebut dengan serta-merta adalah sangat autokratik dan tidak menunjukkan profesionalisme sebagai seorang menteri.

"Ia mungkin boleh diterima jika menteri hanya meminta bas terlibat sahaja diberhentikan operasinya bagi menunggu laporan siasatan, tetapi menteri telah menggantung lesen perniagaan syarikat bas itu sebelum beliau memahami sepenuhnya punca sebenar kemalangan. Tindakan itu sangat autokratik dan berlebihan," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan Hal Ehwal MOT Pemuda MCA.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS