PARLIMEN | Awang Hashim (PN-Pendang) dituntut memohon maaf dan diharap "insaf" selepas membuat kenyataan mendakwa wang tunai berjumlah RM94 juta ditemui di kediaman seorang bekas menteri dari DAP.
Lim Guan Eng (PH-Bagan) berkata dakwaan yang dibuat Awang terhadap bekas Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, jelas tidak benar dan telah dinafikan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Ahli Parlimen PAS dari Pendang (Awang Hashim) telah membuat kenyataan yang haram.
"Beliau harus insaf atas kenyataan fitnah dan pembohongan ini kerana SPRM telah menafikan sekeras-kerasnya kenyataan yang bersifat fitnah, yang haram itu.
“Oleh sebab itu, kita minta Speaker Dewan Rakyat mengambil tindakan yang keras terhadap pimpinan PAS atas kenyataan tersebut, yang jelas satu fitnah dan pembohongan," katanya.
Bercakap kepada media di parlimen hari ini, bekas Setiausaha Agung DAP itu mengingatkan, jika Awang gagal meminta maaf atas tuduhan yang dibuatnya semalam, parlimen akan menjadi tempat seseorang mengeluarkan fitnah.
Keadaan itu, tambah Lim, tidak akan memberi sebarang manfaat kepada negara.
Dapat restu atau tidak
Ketika membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat semalam, Awang membangkitkan dakwaan penemuan wang tunai berjumlah RM94 juta yang dikaitkan dengan seorang bekas menteri daripada DAP.
"Sampai sekarang, kita masih tidak tahu sejauh mana siasatan telah dibuat,” katanya.
Kenyataan itu mendoroang RSN Rayer (PH-Helutong) bangun mencelah dan meminta tindakan tegas diambil terhadap Awang kerana membuat tuduhan tanpa bukti terhadap DAP.
Namun Awang tidak mengendahkan teguran itu.
Sementara itu Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) turut meminta pemimpin PAS menyatakan pendirian terhadap tindakan Awang.
Dakwa Khoo, sejak kebelakangan ini ramai ahli parlimen PAS yang mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah, tidak benar, dan direka-reka.
“Sebelum ini pun kita masih ingat Ahli Parlimen Kepala Batas (Siti Mastura Muhammad) membuat dakwaan ahli parlimen Bagan (Lim) ada hubungan dengan Chin Peng.
“Semalam Pendang (Awang) pula buat dakwaan kononnya SPRM ada jumpa duit RM94 juta di sebuah rumah milik bekas menteri. Itu semua palsu,” katanya.
Justeru, kata Khoo, dia mahu mendapatkan kepastian sama ada PAS merestui perbuatan sebegitu atau sebaliknya.
Tambah Khoo, sebagai individu yang beragama, dia yakin semua ajaran mengajak penganutnya agar bersikap jujur pada setiap masa.
“Saya nak tanya kepada PAS yang perjuangan politik mereka kata berasaskan Islam, adakah itu yang dibenarkan dalam agama Islam yang dipercayai oleh umat islam ini. Saya nak PAS jawab,” katanya.
Pada sidang media yang sama V Sivakumar berkata dia sangat kecewa dan tersinggung dengan kenyataan Awang.
Kata Ahli Parlimen Batu Gajah itu, kenyataan Awang semalam jelas suatu cubaan untuk mencemar nama baiknya beliau sebagai seorang ahli Dewan Rakyat serta parti yang diwakilinya.
“Tindakan SPRM dalam satu kenyataan menjernihkan situasi ini amat dihargai.
“Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung penemuan wang RM94 juta tersebut yang dinyatakan Pendang,” katanya.