Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Boleh ‘mengurat’ dekan: MP desak naib canselor Utem mohon maaf
Diterbitkan:  Nov 5, 2024 2:09 PM
Dikemaskini: 7:35 AM

Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong mendesak Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia (Utem) Massila Kamalrudin memohon maaf berhubung kenyataannya pada program universiti yang dilaporkan media sebelum ini.

Menurut laporan media katanya, Massila didakwa memberitahu pelajar bahawa tidak salah untuk “mengurat” sesiapa saja, termasuk dekan, selagi tidak melakukan skandal dalam universiti.

"Saya mendapati kenyataannya merisaukan kerana ia bertentangan dengan etika profesionalisme di universiti awam dan keputusan Utem untuk mempertahankan Masilla lebih memeranjatkan dengan menyatakan kenyataan itu diambil di luar konteks.

"Saya terkejut dan keliru selepas membaca kenyataan Utem yang membela naib canselornya Dr Massila berhubung kenyataan yang dibuatnya pada perhimpunan program universiti itu

"Utem sebagai sebuah universiti yang disegani di negara ini sepatutnya meminta kakitangannya memohon maaf dan mengakui kesilapan yang dilakukannya kerana ia lebih mudah diterima orang ramai daripada cuba memanjangkan isu itu dengan ‘menjelaskan’ kenyataan tersebut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu Utem menegaskan bahawa ucapan Massila itu diambil di luar konteks.

Universiti itu mendakwa video ucapan Massila di YouTube disunting dan tidak menggambarkan maksud sebenar.

Dalam video itu, Massila dilaporkan berkata tidak salah untuk pelajar memikat dekan atau pensyarah tetapi jangan mempunyai hubungan ketika di universiti.

“Kalau nak mengurat dekan sekali pun tiada masalah, jodoh itu di tangan tuhan tetapi jangan buat skandal dalam universiti,” katanya dipetik dalam video yang kini sudah diturunkan.

Khoo berkata, tindakan universiti mempertahankan Massila secara tidak langsung menunjukkan mereka tidak serius mengekalkan profesionalisme, malah memburukkan imej sendiri.

"Kurangnya kesungguhan mungkin tidak menggalakkan pelajar untuk mendaftar di universiti, kerana profesionalisme tidak diutamakan oleh pengurusan universiti. Sekarang, saya menggesa Masilla untuk memohon maaf atas kenyataannya sebagai pengakuan ikhlas atas kesilapannya.

"Saya percaya sebagai manusia tiada siapa yang akan terlepas daripada melakukan kesilapan, justeru permohonan maaf sudah memadai untuk menamatkan konflik.

"Permohonan maaf tidak bermakna segala sumbangannya kepada universiti dan negara akan dilupakan, sebaliknya akan menampilkan kepimpinan yang berwibawa dan menjadi contoh kepada ramai belia di luar sana bahawa mengakui kesilapan bukanlah tanda kelemahan sebaliknya menandakan keberanian sebagai seorang pemimpin," katanya.

Tambah pemimpin DAP itu, Utem juga harus mengeluarkan permohonan maaf kerana mempertahankan kenyataan Massila.

"Sebagai sebuah pengajian tinggi yang disegani, ia sepatutnya mengambil landasan moral yang tinggi dengan mengakui kesilapan dan berjanji perkara seumpama itu tidak akan berulang di masa depan," kata Khoo.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS