Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Amanah Johor macam isytihar perang pada Umno, jolok sarang tebuan'
Diterbitkan:  Nov 5, 2024 1:22 PM
Dikemaskini: 5:22 AM

Seorang pemimpin Umno Johor menyifatkan kenyataan pemimpin Amanah yang mahu bertanding di 20 kerusi dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang termasuk berdepan dengan Umno dan BN sebagai 'menjolok sarang tebuan' dan 'tak sedar di untung'.

Setiausaha Umno Johor Abdul Halim Suleiman berkata selera dan nafsu Amanah Johor mahukan jawatan dalam kerajaan negeri tak pernah padam, malah semakin menjadi-jadi.

Abdul Halim Suleiman

Menurutnya, kenyataan Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad menggambarkan mereka tidak kisah untuk langgar sesiapa pun asalkan dapat apa yang diingini.

"Alasannya mudah saja. Sebab BN Johor masih tak mahu bentuk kerajaan perpaduan walaupun selepas menang PRK DUN Mahkota.

"Saya lihat kenyataan ni macam nak jolok sarang tebuan dan isytihar perang dengan Umno dan BN. Padahal Umno sudah duduk diam selepas presiden Umno (Ahmad Zahid Hamidi) berpesan supaya kita tak usik rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Abdul Halim berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Dzulkefly yang menyatakan Amanah mahu bertanding 20 daripada 56 kerusi DUN pada pilihan raya akan datang.

Tindakan itu kerana BN enggan menubuhkan kerajaan perpaduan di negeri berkenaan.

Pada September tahun lalu, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi memberitahu tiada keperluan menubuhkan kerajaan perpaduan kerana kerajaan negerinya ditubuhkan sebelum PRU15.

Malah Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook sebelum ini berharap polemik kerajaan perpaduan di Johor dihentikan dan tidak perlu ditimbulkan lagi

Mengulas lanjut Abdul Halim berkata Umno tiada masalah untuk berperang dan bertarung dengan Amanah pada PRN atau PRU16 nanti, tetapi kini bukan masanya untuk berpolitik.

"Amanah Johor ni sebenarnya macam tak sedar di untung. Dulu, PRU15, Amanah hanya menang satu kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN saja di negeri ini. Itu pun bukan sebab Amanah kuat, tapi lebih kepada ihsan DAP.

"Jadi saya nak pesan kepada Amanah Johor jangan sombong kerana mereka hanya parti menempel simpati DAP saja dalam PH - tapi sekarang Amanah nak berlagak macam juara.

"Sibuk mahukan jawatan dan kuasa dalam kerajaan negeri tapi khidmat kepada rakyat habuk pun tak ada. Harapkan ada seorang MP (ahli parlimen) di Pulai dan seorang Adun di Simpang Jeram tapi macam tak ada fungsi," bidasnya yang juga ketua Umno Bahagian Tebrau.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS