Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saya ingin tatap wajahnya, kata pemandu pekak yang kecewa

Selepas menunggu keadilan ditegakkan selama lebih lima bulan, pemandu e-hailing yang pekak Ong Ing Keong kecewa kerana dia gagal melihat kelibat anggota polis yang menyerangnya.

Menerusi bantuan penterjemah bahasa isyarat, maklum balas itu dikongsikan bersama Malaysiakini melalui mesej teks.

“Dia juga kecewa kerana penyerangnya dilepaskan dengan hanya denda RM1,000,” petik mesej itu.

"Ong sangka dia akan berdepan dengan penyerangnya di mahkamah bersama peguam dan hakim seperti yang dia tonton dalam drama," tambahnya.

Anthony Chong

Setiausaha Agung Pertubuhan Kebajikan dan Advokasi Pekak Malaysia (Dawn), Anthony Chong memberitahu Malaysiakini bahawa Ong juga menjangkakan gambar penyerangnya akan didedahkan.

"Ong kata bahawa sekadar nama orang itu tidak memadai. Mana gambar dia? Dia nak tengok mukanya. Malangnya, dia tidak dimaklumkan terlebih dahulu mengenai kes tersebut. Semuanya berlaku secara tiba-tiba.

"Ong tidak berpuas hati kerana semuanya berlaku tanpa pengetahuannya," katanya.

Chong berkata bahawa Ong tidak akan mengalah dan akan terus meneruskan perkara itu tetapi tidak mengulas lanjut.

Semalam, anggota polis, Lans Koperal Muhammad Taufik Ismail, mengaku bersalah menyerang pemandu berusia 47 tahun itu di luar Hotel St Regis di Kuala Lumpur pada 28 Mei lalu.

Ong Ing Keong

Susulan itu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda RM1,000 ke atasnya.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun, denda tidak lebih RM2,000, atau kedua-duanya sekali.

Semasa prosiding mahkamah terbuka semalam, Taufik memohon maaf melalui peguamnya A Ashok.

Semasa kejadian, anggota polis itu sedang mengiringi Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang turut meminta tindakan diambil berhubung perkara itu.

‘Orang yang sama?’

Dalam satu kenyataan pagi ini, Dawn turut menyatakan "kekecewaan dan kebimbangan yang mendalam" berhubung keputusan mahkamah semalam.

“Keputusan mahkamah telah menimbulkan persoalan serius di kalangan masyarakat pekak dan orang ramai.

“Selama lima bulan, Ong dan komuniti pekak menunggu, mengharapkan sistem negqara ini akan memberikan penghakiman yang adil dan seimbang. Bagaimanapun, keputusan itu menyebabkan ramai yang berasa mereka diabaikan, tidak dihormati dan tidak disokong oleh mereka yang sepatutnya menegakkan keadilan,” tambahnya.

Dawn menegaskan bahawa Ong mengalami ketakutan dan tekanan psikologi selama berbulan-bulan. Dia tidak pasti sama ada dia boleh mendapatkan perlindungan daripada mereka yang diamanahkan untuk menegakkan undang-undang atau tidak.

“Keputusan mahkamah gagal mempertimbangkan kesan jangka panjang ke atasnya. Sebaliknya, hukuman ringan itu memberi gambaran bahawa keganasan, walaupun oleh pihak berkuasa, boleh diterima - pandangan yang Dawn tidak boleh dan tidak akan terima,” katanya.

Sambil menuntut ketelusan, Dawn turut melemparkan soalan jika Taufik adalah orang yang sama dirakam dalam kamera dashcam yang menyerang Ong?

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS