Seorang bekas ahli parlimen berkata, kegagalan pelaburan untuk mendapatkan keuntungan yang diharapkan - seperti apa yang berlaku ke atas syarikat FashionValet Sdn Bhd (FashionValet) adalah sebahagian daripada risiko yang diketahui.
Menurut Tony Pua dalam sesuatu langkah yang diambil, akan selalu ada lebih banyak kegagalan berbanding kejayaan.
Dia yang menjadi setiausaha politik kepada menteri kewangan dari 2018 hingga 2020 itu menambah, langkah penerokaan modal seperti itu menjangkakan, daripada 10 pelaburan yang dibuat, tiga atau empat daripadanya - seperti FashionVallet - akan berdepan kerugian.
"Manakala dua atau tiga yang lain menghasilkan pulangan yang hebat," katanya dalam catatan Facebook semalam.
Ahli parlimen dari DAP itu berkata demikian sebagai mengulas isu kerugian bernilai RM44 juta dialami Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) hasil pelaburan mereka dalam syarikat FashionValet.
Khazanah dan PNB melabur dalam jenama pakaian itu pada Mac 2018. PH kemudian mengambil alih kerajaan pusat melalui PRU ke-14 kira-kira dua bulan kemudian.
Syarikat itu kini disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Perdana Menteri Anwar Ibrahim pula telah mengarahkan Khazanah agar membuatsiasatan dalaman berhubung perkara itu.
Dalam catatannya semalam, Pua tetap tidak menolak kemungkinan wujud salah laku dalam FashionValet namun menyatakan, setakat ini pengkritik tidak memberikan sebarang bukti untuk menyokong dakwaan tersebut.
Dia yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Damansara turut mengingatkan, kritikan terbuka bahkan akan mewujudkan budaya mendorong pembuat keputusan tidak akan mengambil sebarang risiko.
"FashionValet sentiasa menjadi pelaburan berisiko tinggi. Begitu juga Grab, pada awalnya.
"Apabila Khazanah tidak melabur dalam Grab pada awalnya, dan Grab memindahkan ibu pejabatnya ke Singapura kerana ketersediaan dana di sana, kita amat kritikal kerana kita terlepas peluang.
"Justeru kita tak boleh ada kedua-dua sikap sebegitu. Anda tak boleh marah jika kita tidak melabur, dan marah apabila anda melakukannya," kata Pua.