Dua lelaki maut selepas kenderaan yang dinaiki mereka merempuh pembahagi lorong tol dalam kejadian di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar dalam kenyataan hari ini berkata kedua-dua lelaki berusia 65 tahun itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
“Sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Seri Kembangan dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 3.42 pagi.
“Kemalangan membabitkan kereta jenis Honda CRV itu, menyebabkan dua mangsa tersepit di bahagian hadapan kenderaan,” katanya.
Menurut Ahmad Mukhlis, kenderaan terbabit dalam perjalanan menuju arah Seremban, Negeri Sembilan. Mayat mangsa, katanya, kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
- Bernama