Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) berdepan dengan surat tuntutan saman bernilai RM1.3 juta atas dakwaan pelanggaran hak cipta.

Surat undang-undang yang dilihat oleh Malaysiakini itu menunjukkan tuntutan berkenaan adalah berkaitan dengan nombor pendaftaran kenderaan Madani 1 hingga Madani 9999.

Menurut pihak yang membuat tuntutan, Hasan Azhari Hashim, JPJ dan MOT mempunyai tujuh hari - dari tarikh surat itu diterima - untuk membayar pampasan berkenaan.

Hasan merupakan pengarah program kepada syarikat Ilham Madani Sdn Bhd. Dia juga mendakwa menjadi pemegang hak cipta berdaftar yang sah ke atas nombor plat berkenaan.

Sekiranya gagal membayar jumlah tersebut, kata Hasan, pasukan guamannya dari firma guaman Raj & Sach akan memfailkan tuntutan mahkamah.

Sementara itu ketika dihubungi Malaysiakini, peguam Hasan, Rajesh Nagarajan, mengesahkan surat undang-undang itu disampaikan kepada JPJ dan kementerian terbabit semalam.

Hasan berkata, dia menulis kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 27 Feb tahun lepas untuk mencadangkan agar dia dan agensi kerajaan bekerjasama menjual nombor plat khas Madani 1 hingga Madani 9999 .

Bagaimanapun, dakwanya, cadangan berkenaan gagal selepas kerajaan tidak bersetuju melalui pemberitahuan dalam beberapa siri surat antara akhir tahun lalu hingga awal tahun ini.

Hasan mendakwa dia mendapat tahu melalui poster JPJ pada Okt lalu bahawa agensi itu mengeluarkan notis awam mengenai nombor pendaftaran kenderaan tersebut dengan harga bidaan minimum RM100.

Oleh itu, katanya, ia bercanggah dengan maklumat yang diberikan kerajaan pada 31 Okt 2023 dan 6 Feb lalu.

Justeru, kata dokumen tuntutan tersebut, JPJ dan MOT menggunakan idea Hasan dan hak ciptanya secara tidak sah, sekali gus melanggar undang-undang hak cipta.

Malaysiakini sudah menghubungi wakil undang-undang kerajaan di Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mendapatkan maklum balas berhubung perkara itu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS