Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin meminta ahli dan pemimpin parti itu supaya memperkukuhkan barisan kepimpinan selepas pemilihan parti itu berakhir.
Kata Muhyiddin, perkara itu penting demi memastikan kelangsungan perjuangan parti dan menghadapi cabaran yang lebih besar.
"Alhamdulillah, proses pemilihan Bersatu telah selesai dengan sempurna.
"Saya mengucapkan tahniah kepada semua yang berjaya memenangi pemilihan kali ini. Kepada yang tidak berjaya, teruskan perjuangan,” katanya pada hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Bersatu hari ini mengumumkan pasukan "kompromi" Muhyiddin yang terdiri daripada Ronald Kiandee, Radzi Jidin, dan Ahmad Faizal Azumu berjaya dipilih sebagai tiga naib presiden parti itu.
Mereka menewaskan tiga calon lain, iaitu Timbalan Ketua Bersatu Selangor, Rafiq Abdullah, Ketua Penerangan, Razali Idris dan Ketua Bersatu Batu Kawan, Aziss Zainal Abiddin.
Pemimpin yang sehaluan dengan bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali - yang disebut sebagai "kem kartel" - juga dipilih menganggotai majlis tertinggi.
Mereka ialah ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah dan Adun Taman Medan, Dr Afif Bahardin.
Perkukuhkan parti
Sehubungan itu, Muhyiddin meminta kepimpinan baru parti itu daripada majlis tertinggi sehinggalah ketua-ketua bahagian agar menggalas amanah dan tanggungjawab dalam mengemudi parti itu sebaik-baiknya.
"Inilah masa untuk kita bertaut semula dan perkukuhkan parti demi memastikan kelangsungan perjuangan parti dan menghadapi cabaran yang lebih besar di hadapan kita.
"Saya juga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dan seluruh anggotanya yang telah berjaya melaksanakan tanggungjawab mengendalikan pemilihan parti dengan baik,” tambah bekas perdana menteri itu.
Bulan lalu, pemimpin Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa Muhyiddin "amat sedih dan kecewa" kerana beberapa ahli majlis tertinggi parti itu tidak menuruti “petua” presiden dan cuba menjejaskan "pelan kompromi" yang dipersetujui sebelum ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan Ahmad Faizal mengakui wujudnya fahaman berpuak-puak dalam parti kerana sebilangan ahli seolah-olah cenderung berpihak kepada pemimpin tertentu untuk melindungi survival politik mereka.