Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Tumpuan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China kali ini selama empat hari bermula 4 Nov adalah untuk bertemu pelabur berpotensi bagi menarik pelaburan ke Malaysa yang sekali gus dapat menggiatkan ekonomi negara.

“Fokus kali ini (adalah) ekonomi. Jadual yang padat menanti Perdana Menteri antaranya sesi bertemu syarikat yang berpotensi membuat pelaburan ke Malaysia,” kata Duta Malaysia ke Beijing Datuk Norman Muhamad dalam satu sidang media bersempena lawatan Perdana Menteri ke negara itu.

Beliau berkata semasa lawatan tersebut Anwar akan mengadakan pertemuan dengan The China International Capital Corp (CICC), syarikat pengurusan pelaburan dan perkhidmatan kewangan multinasional milik kerajaan China dan juga para pegawai eksekutif kanan Huawei.

Selain itu, Perdana Menteri juga akan bertemu sembilan syarikat berpotensi lain dan mengadakan sesi meja bulat bersama 23 pemimpin industri utama negara itu.

Anwar dijadual tiba di Shanghai malam ini, singgahan pertama beliau sebelum ke Beijing.

Lawatan kerja Perdana Menteri ke China ini adalah atas jemputan daripada rakan sejawatnya Li Qiang untuk menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China ketujuh (CIIE ke-7) di Shanghai.

Norman berkata Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucap tama di CIIE selain melancarkan Astaka Malaysia serta Astaka Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) yang menyertai ekspo tersebut.

Menurutnya, sebanyak 68 syarikat Malaysia menyertai CIIE dengan 17 syarikat akan berada di Malaysian Pavilion, 18 syarikat di bawah ACCCIM dan selebihnya berada di pavilion masing-masing.

CIIE merupakan inisiatif China untuk menyediakan satu platform kepada negara-negara yang terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) bagi mempromosi dan mengeksport barangan dan perkhidmatan ke negara itu.

Mengenai jumlah dagangan antara kedua-dua negara, Norman berkata terdapat peningkatan jumlah dagangan dengan China di tengah-tengah penurunan perdagangan dunia.

“Dan ini semua adalah hasil daripada hubungan baik Malaysia-China dari segi diplomatik dan pemimpin tertinggi,” katanya.

Dengan siri lawatan seperti Lawatan Negara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru baru ini menunjukkan keakraban antara Malaysia dan China.

“Ketika lawatan ini para pemimpin ini dapat memperhalusi dan juga mencapai kata sepakat dalam hala tuju hubungan dua hala. Ini amat membantu dalam kita meningkat perdagangan antara Malaysia dan China,” katanya.

Norman berkeyakinan China akan terus menjadi rakan dagang terbesar Malaysia.

Menurutnya, usaha menarik pelaburan telah dilakukan lebih awal oleh Khazanah Nasional dan Permodalan Selangor.

“Mereka telah berjumpa all these bodies (perbadanan) untuk tarik pelaburan yang bersifat cooperation (kerjasama). Negara China ini sangat maju dan kehadapan dalam bidang kenderaan elektrik (EV) dan RE (tenaga boleh baharu). Ini semua adalah industri yang akan dikembangkan di Malaysia. Kita perlukan pelaburan sebegini,” katanya.

Sementara itu, katanya, Anwar dan Li juga bakal menyaksikan pertukaran dokumen antara Malaysia dan China berkaitan BRI dan juga memorandum persefahaman (MOU) kerjasama antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan China Media Group.

Selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009, China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia di peringkat global.

Pada 2023, jumlah perdagangan dengan China bernilai RM450.84 bilion (US$98.80 bilion), menyumbang 17.1 peratus daripada perdagangan global Malaysia.

Sehingga September 2024, jumlah dagangan yang direkodkan ialah sebanyak RM355.15 bilion (US$76.72 bilion).

Pada tempoh Separuh Pertama 2024, sejumlah 15 projek pembuatan telah dilaksanakan dengan pelaburan berjumlah RM1.2 bilion (US$252.5 juta).

Lawatan ini merupakan lawatan ketiga Anwar ke China susulan lawatan sulung beliau ke negara itu pada Mac 2023, diikuti pada September tahun yang sama.

Bagaimanapun, ini merupakan lawatan sulung Perdana Menteri Shanghai.

Perdana menteri akan berlepas Beijing pada 6 Nov.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS