Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rakyat Malaysia jadi tentera upahan di Ukraine masih hidup - IGP

Rakyat Malaysia yang dilaporkan menjadi tentera upahan Ukraine dalam konflik membabitkan negara itu dengan Rusia disahkan sebagai Lee Bing Hang dan dipercayai masih hidup serta berada dalam keadaan selamat.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata siasatan awal pihaknya mendapati Lee, 20, mengalami kecederaan di bahagian buku lali akibat terkena serpihan dron Rusia dan telah selesai menjalani rawatan.

Beliau berkata pihaknya difahamkan ketika serangan dron berkenaan, Lee berjaya melarikan diri bagaimanapun MyKad dan lesen memandunya tercicir manakala pasportnya masih bersama beliau.

Menjelaskan lebih lanjut Razarudin berkata siasatan mendapati tawaran gaji yang menarik hingga US$2,700 sebulan (RM11,807) selain meminati bidang ketenteraan mendorong Lee menyertai perang Ukraine-Rusia sebagai tentera upahan.

“Selain itu, tekanan keluarga dipercayai menyebabkan beliau sanggup menjauhkan diri kerana Lee dibesarkan oleh ibunya di Perlis selepas berpisah dengan bapanya sejak kecil,” katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau turut mendedahkan Lee menjadi tentera upahan di Ukraine sejak April 2024 selepas membuat permohonan melalui laman sesawang ketenteraan Ukraine dan satu-satunya yang berasal dari Malaysia.

“Beliau mendapat pendidikan A level di sebuah kolej swasta di Petaling Jaya dan kemudian menyambung pengajian di peringkat ijazah di sebuah kolej di Subang Jaya sebelum berhenti awal tahun ini.

“Pada Mac lepas difahamkan Lee ke United Kingdom untuk mencari pekerjaan di luar negara sebelum menyertai perang Ukraine-Rusia dan tidak merancang pulang ke tanah air,” katanya.

Sebelum ini, tular beberapa keping gambar yang menunjukkan MyKad dan lesen memandu rakyat Malaysia yang beralamat di Perlis ditemui di medan pertempuran antara Ukraine dan Rusia.

Laporan itu mendakwa dokumen tersebut ditemui selepas tentera Rusia menawan kubu tentera lawan di Levadne, Zaporizhia, Ukraine.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS