PARLIMEN l Seorang ahli parlimen penyokong kerajaan yang membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini mempersoalkan proses pemilihan untuk pelaburan oleh syarikat berkaitan kerajaan dan sama ada terdapat sebarang "layanan istimewa" untuk individu yang mempunyai hubungan baik.
Dr Kelvin Yii (PH-Bandar Kuching) mempersoalkan bagaimana Fashion Valet memperoleh pelaburan yang besar daripada Khazanah Nasional dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan seterusnya mencatatkan kerugian RM40 juta.
"Pertama, bagaimana FashionValet boleh dapat pelaburan daripada GLIC, walhal syarikat lain contohnya Grab yang ada potensi tak dapat bantuan diperlukan.
"Namun, sekarang mereka (Grab) adalah 'unicorn' (syarikat pemula persendirian yang mempunyai nilai lebih AS$1 bilion) di Singapura dan kita terlepas peluang ini.
"Berapa banyak 'startup' terpaksa ke luar negara kerana di negara sendiri, (mereka) bagaikan pengemis dan apakah proses pemilihannya supaya semua rakyat Malaysia dapat nikmati suntikan ini, bukan dalam kalangan geng kabel atau elit saja.
“FashionValet mendapat suntikan bukan hanya RM1 ke RM2 juta tetapi lebih RM40 juta. Bagaimana jumlah ini ditentukan?” soalnya.
Susulan siasatan SPRM berhubung perkara itu pada 2 Nov lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga pengerusi Khazanah, telah mengarahkan syarikat itu menjalankan audit dalaman untuk “menyiasat masalah yang dikaitkan dengan kerugian pelaburannya baru-baru ini yang bernilai RM43. 9 juta.”
Sambil memuji arahan Anwar, Yii berhujah bahawa pelaburan yang sama, dengan pengurusan yang betul, boleh menyokong lebih banyak perniagaan.
“Alasan yang saya baca mengenai pelaburan ini adalah untuk memperkasa perniagaan bumiputera.
“Saya sokong sepenuhnya tetapi jika jumlah dana itu digunakan dengan baik, ia boleh memperkasa beratus-ratus syarikat bumiputera dan bukan bumiputera yang lain,” katanya
Dia seterusnya mempersoalkan kekurangan akauntabiliti yang nyata bagi kerugian yang dilaporkan selama ini, sebelum isu itu didedahkan.
“Perlu ada kebertanggungjawapan dalam hal ini. Sebenarnya saham telah dijual pada 2023. Kenapa sampai sekarang kita tak mendengar sebarang tindakan yang diambil? Kalau kita lihat di Singapura, ada juga kerugian dan disebabkan ada kebertanggungjawapan.
“Ada orang yang terpaksa meletak jawatan.
“Kalau saya seorang pelabur, saya melabur satu jumlah yang besar, takkan saya tidak memantau pelaburan saya dan biar rugi bertahun-tahun begitu saja.
“Jadi apakah safeguard dengan izin yang sepatutnya ada dalam pelaburan tersebut supaya untung rugi pelaburan dapat dikawal, malah kita dapat memantau, memberikan nasihat kepada mereka yang pelaburan itu sepatutnya diberikan. Takkan kita bagi RM40 juta dan biar mereka buat suka hati,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Yii mencadangkan agar lebih ramai ahli parlimen terlibat dengan isu berkepentingan tinggi.
“Saya berharap semua pelaburan berkepentingan ataupun penyata kewangan di setiap GLC, GLIC dapat dibantangkan di parlimen, terutamanya di JKPK, Jawatankuasa Khas Parlimen Kewangan.
“Dan jika mungkin kita wujudkan satu jawatan kuasa khas parlimen untuk reformasi GLC dan GLIC,” katanya.