Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kelantan tak campur tangan kes 6 rakyat M’sia miliki dadah di Thailand

Kerajaan Kelantan tidak campur tangan dalam siasatan terhadap enam rakyat Malaysia termasuk seorang artis wanita dari negeri itu yang ditahan pihak berkuasa Thailand di sebuah hotel dekat pekan Sungai Golok, Jumaat lepas.

Timbalan Menteri Besar Mohamed Fadzli Hassan berkata kes berkenaan diharap dapat menjadi pengajaran buat semua kerana ia membabitkan individu dikenali ramai.

“Kes ini boleh dijadikan pengajaran terutamanya kepada rakyat Kelantan untuk sentiasa berjaga-jaga dan menjaga tingkah laku, terutamanya apabila kita ada nama, berikan contoh teladan yang baik," katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Invest@Kelantan Forum & Expo (INFEX 2024) di Kota Bharu hari ini.

Mohamed Fadzli berkata dia telah meminta agensi penguatkuasaan untuk mempertingkatkan kawalan dan kerjasama bagi memastikan kemasukan dadah sama ada dari dalam atau luar negara dapat disekat.

Sebelum ini, Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat mengesahkan enam rakyat Malaysia ditahan dalam serbuan yang dijalankan oleh polis Thailand di sebuah hotel dekat pekan Sungai Golok, pada enam pagi, Jumaat.

Tangkapan enam individu itu membabitkan tiga lelaki dan tiga perempuan turut menemukan kira-kira 6,000 biji pil kuda dan kesemua suspek dibawa ke Balai Polis Sungai Golok untuk tindakan lanjut.

Dilaporkan dua daripada suspek yang ditahan dipercayai memasuki Thailand menggunakan pangkalan haram Gergaji dekat Rantau Panjang, Pasir Mas, manakala empat lagi menggunakan laluan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS