Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Serang OKU: Pertuduhan ke atas pegawai polis tak memadai - Peguam
Diterbitkan:  Nov 4, 2024 4:01 PM
Dikemaskini: 8:01 AM


Peguam kepada pemandu e-hailing Ong Ing Keong menyifatkan pendakwaan ke atas pegawai polis yang menyerang anak guamnya, dan hukuman yang dikenakan ke atasnya, sebagai tidak memadai.

Zaid Malek berkata serangan itu dilakukan tanpa sebarang provokasi dan anak guamnya adalah seorang OKU yang hanya menjalankan tugasnya ketika insiden berlaku.

“Bagi Ong, pendakwaan ini membawa suatu kelegaan. 

“Namun hukuman denda nampak tidak mencukupi kerana pelaku adalah seorang pegawai polis yang bertanggungjawab untuk melindungi orang ramai, bukan membawa kemudaratan,” katanya dalam kenyataan.

Ia susulan keputusan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda RM1,000 kepada pegawai polis berpangkat lans koperal, Muhammad Taufik Ismail atas kesalahan menyebabkan kecederaan kepada Ong sekitar jam 11.40 pagi di hadapan lobi Hotel St Regis di Kuala Lumpur pada 28 Mei lalu.

Ong Ing Keong

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang membawa kesalahan penjara tak lebih setahun atau denda RM2,000, atau kedua-duanya sekali

Ketika prosiding hari ini, Taufik turut memohon maaf kepada Ong menerusi peguamnya, A Ashok.

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding, Zaid berkata pihaknya tidak tahu Taufik akan didakwa hari ini dan Ong tidak dapat hadir untuk melihat Taufik mengaku bersalah.

Masih ingat kes Rahim Noor?

Mengulas lanjut, Zaid yang juga pengarah NGO Lawyers for Liberty mengimbas semula keputusan Mahkamah Rayuan untuk kes serangan oleh bekas ketua polis negara Abdul Rahim Noor terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 1998.

“Dalam kes Rahim Noor, Mahkamah Rayuan menyatakan prinsip undang-undang bahawa dalam kes ‘anggota polis menyerang orang awam, mahkamah mesti menghantar suatu mesej kemarahan orang awam dengan menghukum dengan tegas dan hukuman pemenjaraan perlu dikenakan, walaupun pesalah kali pertama’.”

Ekoran kes “mata lebam” itu, Rahim dikenakan hukuman penjara dua bulan. 

Sementara itu, Zaid juga berkata Ong menghargai sokongan masyarakat sepanjang lima bulan usahanya bagi mendapatkan keadilan.

“Pendakwaan yang dilewatkan ini adalah susulan kempen panjang bagi mendapatkan keadilan untuk Ong, yang telah mendapat sokongan dan penglibatan orang awam, aktivis, peguam, pertubuhan serta kumpulan sokongan OKU seperti Pertubuhan Kebajikan dan Advokasi Pekak Malaysia (Dawn).

“Ong terhutang budi ke atas semua sokongan dan keperihatinan orang awam yang diterimanya selama lima bulan ini,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS