Pasukan "kompromi" Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang terdiri daripada Ronald Kiandee, Radzi Jidin, dan Ahmad Faizal Azumu berjaya dipilih sebagai tiga naib presiden parti itu.
Mereka menewaskan tiga calon lain, iaitu Timbalan Ketua Bersatu Selangor Rafiq Abdullah, Ketua Penerangan Razali Idris dan Ketua Bersatu Batu Kawan Aziss Zainal Abiddin.
Spekulasi sebelum ini menunjukkan bahawa pemilihan MPTdan jawatan kepimpinan bahagian parti bagi penggal 2024-2027 melibatkan dua puak: satu diketuai oleh Hamzah Zainudin, yang kini timbalan presiden parti, dan satu lagi oleh Azmin Ali.
Berdasarkan cadangan yang diajukan, Faizal yang adalah timbalan presiden sebelum ini akan bertanding untuk mengisi salah satu daripada tiga jawatan naib presiden parti itu, yang telah dibiarkan kosong selepas penyandangnya Mohd Rafiq Naizamohidden keluar dari Bersatu pada 2022.
Dua penyandang naib presiden - Mohd Radzi dan Kiandee - akan mempertahankan jawatan masing-masing.
Bagi Azmin, Muhyiddin berkata dia akan dilantik menjadi setiausaha agung parti.
Bagaimanapun selepas pencalonan dimuktamadkan bulan lalu, Muhyiddin dan Hamzah menang tanpa bertanding seperti dirancang.
Namun, daripada tiga yang dicadangkan daripada “pelan kompromi” itu, terdapat tiga lagi calon yang tampil mahu merebut jawatan naib presiden iaitu Rafiq, Razali Dan Aziss.
Keputusan hari ini diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu, Abdul Azim Mohd Zabidi di ibu pejabat parti di Petaling Jaya, hari ini.
“Radzi mendapat sebanyak 11,690 undi manakala Kiandee mendapat 11,295 undi dan Ahmad Faizal pula dengan 9,278 undi,” katanya.
Pada masa sama, Azim berkata sebanyak 20 ahli majlis pimpinan tertinggi (MPT) Bersatu telah dipilih daripada 80 calon yang bertanding.
Mereka yang terpilih itu, termasuk pemimpin yang sehaluan dengan bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali - yang disebut sebagai kem "kartel".
Antara mereka adalah ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah dan Adun Taman Medan Dr Afif Bahardin.
MPT itu juga dianggotai oleh seorang ahli Cina dari Tawau Sabah iaitu Lim Ting Khai.
Turut dilantik menganggotai MPT adalah ahli Parlimen Tanah Merah Ikmal Hisham Abdul Aziz, ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, dan bekas menteri besar Johor Dr Sahruddin Jamal.
Beberapa nama yang gagal menempatkan diri dalam barisan kepimpinan ialah bekas ahli Parlimen Alor Gajah, Mohd Redzuan Md Yusof; ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Roslan Hashim dan aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard, yang sebelum ini menang Ketua Bersatu Port Dickson.